Isu pengambilan pil tahan period atau haid sering dibincangkan dalam konteks ibadah seperti haji dan umrah. Namun, ramai yang masih tertanya-tanya tentang hukumnya jika diambil atas faktor rumah tangga, khususnya bagi pasangan suami isteri yang menjalani hubungan jarak jauh (PJJ).
MAKAN PIL TAHAN PERIOD SEBAB HIDUP PJJ DENGAN SUAMI, BOLEH KE

Menurut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan menerusi siri podcast al-Bayan. Menurut penjelasan tersebut, penggunaan pil hormon untuk menangguhkan haid dibenarkan dengan syarat ia tidak membawa kesan sampingan yang berbahaya kepada individu.
Sekiranya tiada mudarat dan wanita tersebut berada dalam keadaan selesa, maka hukumnya adalah dibolehkan. Namun, jika ia menyebabkan kesakitan atau komplikasi kesihatan yang serius, maka ia tidak digalakkan kerana Islam tidak mengizinkan sesuatu yang memudaratkan diri.
Sebahagian ulama juga berpandangan bahawa lebih afdal membiarkan haid berlaku secara semula jadi, namun ia bukanlah satu kewajipan.
Menariknya, penjelasan mufti turut menyentuh situasi pasangan suami isteri jarak jauh contohnya suami yang bekerja offshore atau di luar kawasan untuk tempoh lama.
Sekiranya waktu kepulangan suami kebetulan jatuh dalam tempoh haid isteri, wanita tersebut dibenarkan mengambil pil tahan haid bagi meraikan suami, selagi mana tidak memudaratkan kesihatan.

Freepik
Tujuannya adalah untuk menjaga keharmonian rumah tangga serta memenuhi hak pasangan, dan perkara itu diharuskan dari sudut syarak.
Walaupun hukum syarak membenarkan, wanita dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang pil hormon. Ini kerana setiap individu mempunyai tahap kesihatan dan tindak balas badan yang berbeza.
Kesimpulannya, pengambilan ubat tahan haid bukanlah sesuatu yang dilarang dalam Islam, sama ada untuk tujuan ibadah mahupun demi menjaga hubungan suami isteri PJJ.
Pasangan suami isteri perlu memastikan bahawa pil tahan haid tidak memudaratkan dan dibuat dengan pertimbangan yang bijak.
Baca juga: Gempa Bumi Kuat 6.8 Magnitud Gegar Perairan Sabah, Tiada Ancaman Tsunami Dilaporkan
Sumber: Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan
