Euforia Bola 2026
Nur

Niat Puasa Sebab Nak Kurus Je…Sah Ke Tak? Mufti Tampil Beri Pencerahan Supaya Anda Tak Tersasar!

puasa untuk kurus

Setiap kali Ramadan tiba, umat Islam berlumba-lumba merebut pahala dan keberkatan yang dijanjikan. Dalam masa sama, tidak dinafikan ada yang melihat bulan ini sebagai peluang menurunkan berat badan, sekali gus niat puasa untuk kurus telah dipasang dalam dirinya.

Namun timbul persoalan, jika dalam hati ada niat untuk kuruskan badan selain menunaikan kewajipan kepada Allah SWT, adakah dibolehkan?

Baca juga: Makan Awal Lepas Tarawih Dikira Bersahur Ke? Hati-Hati Pilih Waktu, Risau Tak Dapat Pahala Sunnah

puasa untuk kurus

Gambar hiasan: Gemini AI

Persoalan ini telah dijawab secara terperinci di Portal Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel bertajuk ‘Bolehkah Berpuasa Dengan Niat Untuk Kurus?’.

Ringkasnya, puasa tetap sah selagi niat utama adalah kerana Allah SWT. Jika niat kurus hanya sampingan, ibadah tersebut tidak terjejas.

Niat asas kepada setiap ibadah

Dalam Islam, niat adalah perkara paling utama dalam sesuatu ibadah kerana ia membezakan sama ada perkara dilakukan dikira ibadah atau sebagai satu perbuatan biasa sahaja. Sabda Rasulullah SAW:

Terjemahan: “Seungguhnya setiap amalan hanya berdasarkan niat. Sesungguhnya setiap orang hanya memperolehi apa yang dia niatkan. Sesiapa yang hijrahnya diniatkan kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijranya untuk Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya untuk dunia yang dicarinya, atau wanita untuk dikahwininya, maka hijrahnya adalah untuk apa yang dia niatkan.” (Riwayat Muslim)

Hadis di atas ini menunjukkan bahawa hanya amalan yang diniatkan kerana Allah SWT sahaja yang akan diterima oleh Allah. Sebaliknya sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dengan meniatkan kepada perkara duniawi, maka dia hanya mendapatkan perkara yang duniawi itu sahaja.

Begitu juga dalam ibadah puasa, sabda Rasulullah SAW:

Terjemahan: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang terdahulu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Ibn Hajar, berpuasa dengan penuh keimanan di dalam hadis ini bermaksud seseorang itu berpuasa dengan meyakini kewajipan puasa tersebut. Manakala berpuasa dengan penuh pengharapan pula adalah apabila seseorang itu berpuasa dengan mengharapkan pahala daripada Allah SWT.

Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Bayyinah ayat 5:

Terjemahan: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”

Ayat ini menegaskan bahawa setiap ibadah mestilah diniatkan hanya semata-mata kerana Allah SWT, bagi mencapai maksud “ikhlas” seperti yang dituntut.

Baca juga: “Nak Mula Tahun Ini!”- Ibu Kongsi 8 Cara Tepis Rasa Malu Berbuka Di Masjid, Sekali Buat Terus Jadi Rutin Ramadan

puasa untuk kurus

Gambar hiasan: Gemini AI

Bolehkah gabung niat ibadah dan manfaat kesihatan?

Menurut sumber, ulama membahaskan hukum menggabungkan niat ibadah dengan manfaat lain yang terhasil daripada ibadah tersebut.

Dalam keadaan tertentu, adakalanya penggabungan niat ibadah dengan sesuatu yang bukan ibadah boleh menyebabkan ibadah tersebut terbatal. Misalnya, seseorang yang melakukan sembelihan ibadah korban dengan niat kerana Allah SWT dan pada masa yang sama juga meniatkan sembelihan tersebut kepada sesuatu yang lain.

  • Begitu juga fuqaha dalam kalangan Mazhab Syafi’i berbeza pandangan mengenai penggabungan niat antara sesuatu ibadah dengan perkara lain yang boleh terhasil daripada ibadah tersebut, sama ada perkara itu diniatkan ataupun tidak.
  • Misalnya, penggabungan niat berwuduk dengan niat untuk menyejukkan badan. Pandangan yang paling kuat dalam Mazhab Syafi’i ialah pandangan yang membenarkan penggabungan dalam kategori ini

Dalam konteks puasa:

  1. Penggabungan niat dalam ibadah puasa antara niat kerana Allah SWT dengan niat untuk kesihatan tubuh badan adalah termasuk dalam kategori gabungan yang dibenarkan.
  2. Dalam hal ini, tujuan berpuasa dengan niat sampingan untuk mengurangkan berat badan juga boleh disamakan seperti seseorang yang berpuasa dan mempunyai niat sampingan untuk kesihatan tubuh badan.
  3. Penggabungan niat ini juga tidak termasuk sebagai perbuatan yang bertentangan dengan keikhlasan ibadat.

Namun begitu, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa perlu dilihat kepada kekuatan niat. Jika niat untuk mendapatkan kemaslahatan duniawi itu lebih kuat, maka orang yang berniat demikian tidak akan mendapat ganjaran.

Baca juga: Viral ‘Mandi Sunat Sebelum Sambut Ramadan’, Betul Ke Sunnah Nabi SAW Atau Sekadar Amalan Kosong?

Pandangan fatwa semasa

Beberapa fatwa kontemporari turut menyokong pandangan ini:

  1. Jabatan Fatwa Mesir membenarkan gabungan niat puasa antara ibadah dan mengurangkan berat badan.
  2. Namun jika puasa diniatkan hanya untuk kurus semata-mata, ia tidak dikira ibadah.
  3. Ensiklopedia Fiqh Kuwait menyatakan manfaat kesihatan daripada puasa tetap terhasil sama ada diniatkan atau tidak.

Kesimpulannya, penggabungan niat dibenarkan mengikut syarat yang telah dijelaskan. Namun lebih afdal untuk memfokuskan niat puasa semata-mata kerana Allah SWT.

Apabila niat diperbetulkan, kita bukan sahaja memperoleh ganjaran pahala, malah manfaat kesihatan juga datang sebagai hikmah daripada ibadah tersebut.

Wallahu a‘lam.

Sumber: Portal Mufti Wilayah Persekutuan

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×