Tibanya bulan Ramadan, ramai dalam kalangan ibu bapa mula melatih anak-anak kecil supaya boleh berpuasa dan ini termasuklah anak Anzalna Nasir, pelakon jelita yang turut berkongsi momen istimewa Ramadan.
Menurut Anzalna, putera sulungnya, Mohamad Eidress, 7 tahun mula belajar berpuasa tahun ini!
ANAK ANZALNA NASIR DAH DILATIH BERPUASA, IKUT KEMAMPUAN

Menurut Anzalna, Ramadan kali ini menjadi permulaan buat Eidress untuk mengenal erti sebenar ibadah tersebut namun semuanya dilakukan secara perlahan dan tanpa paksaan.
Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md. Nasir, 38 tahun, berkata dia baru merancang untuk melatih Eidress berpuasa.
“Ya, tahun ini saya baru nak latih Eidress berpuasa. Kita cuba dulu,” kongsinya.
Bagaimanapun, pelakon drama popular itu menegaskan dia tidak mahu terlalu tegas. Bagi Anzalna, yang penting adalah proses pembelajaran, bukan paksaan.
“Kalau dia nak berbuka, saya bagi saja sebab dia masih kecil. Tapi sebagai ibu, saya kenalah mula dari sekarang,” jelasnya.
Pendekatan ini buat ramai ibu bapa rasa ‘relate’ dan latih anak puasa biar seronok, bukan dalam tertekan.
Tengok Mommy Daddy Puasa, Terus Rasa Nak Cuba

Menariknya, keinginan Eidress untuk berpuasa datang sendiri hasil pemerhatiannya terhadap rutin ibu dan ayah setiap kali Ramadan tiba.
“Sebelum ini dia tengok saya berpuasa. Dia tanya, ‘Kenapa mommy dan daddy puasa?’ Lepas itu dia pun kata nak puasa,” cerita Anzalna lagi.
Buat masa ini, Anzalna belum lagi menggunakan teknik ganjaran atau janji hadiah untuk puasa penuh. Semuanya bermula daripada rasa ingin tahu si kecil sendiri.
Secara umumnya, anak boleh mula diperkenalkan dengan puasa seawal usia 4 atau 5 tahun, bergantung kepada tahap kesihatan dan kemampuan mereka. Ketika usia ini, perkembangan kognitif anak semakin baik dan mereka lebih mudah memahami konsep asas ibadah.
Sebagai ibu bapa, penting untuk:
- Terangkan maksud puasa dengan bahasa mudah
- Ceritakan kebaikan dan ganjarannya
- Lihat tahap kesihatan serta tenaga anak
- Elakkan paksaan melampau
Apa yang dibuat Anzalna ini mungkin boleh jadi inspirasi. Mulakan perlahan, beri sokongan dan raikan usaha anak. Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata ini turut menyimpan hasrat untuk lebih banyak berkongsi rezeki sepanjang bulan mulia.
“Harap dengan rezeki yang Allah beri, saya boleh kongsi dengan lebih ramai orang pada bulan puasa tahun ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Anzalna mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Hanif Zaki pada tahun 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Mohamad Eidress, 7, dan Mohamad Emirhan, 4.
Momen kecil seperti ini sebenarnya cukup bermakna, bukan sekadar latih anak tahan lapar dan dahaga, tetapi mendidik jiwa sejak usia muda.
Sumber: Instagram @anzalnanasir88
