Pelakon terkenal, Amyza Aznan, sekali lagi diuji apabila mendedahkan anak keduanya, Adrian Adam yang kini berusia 18 tahun, disahkan menghidap kanser tulang.
Perkongsian berita menyentuh perasaan itu dibuat menerusi hantaran di Instagram, bersempena bulan Ramadan yang juga merupakan bulan kelahiran anak-anaknya.
AMYZA AZNAN KONGSI BERITA DUKA, ANAK KEDUA PULA DISAHKAN KANSER

Amyza turut memaklumkan bahawa situasi hampir sama pernah berlaku sebelum ini apabila anak sulungnya, Andre Mikhail, disahkan menghidap kanser paru-paru pada tempoh dan bulan yang hampir serupa tahun lalu.
“Assalamualaikum. Salam Ramadan. Hari ini, Ramadan pertama, dibulan Februari, bulan kelahiran anak-anak saya. Sama yang berlaku tahun lepas, bulan Ramadan dan pada bulan kelahiran, anak saya Andre Mikhail, 18 tahun disahkan kanser paru-paru.
“Tahun ini, pada bulan Ramadan juga dan bulan Februari juga bulan kelahiran anak saya, Adrian Adam pula disahkan kanser tulang.
“Saya manusia dan juga ibu, ada berbagai rasa tapi tak terluah dan takut untuk meluah. Hanya mampu memohon tumpangkan doa untuk anak-anak saya,” luahnya.
Dalam perkembangan terkini, Amyza berkongsi keadaan kesihatan Andre yang masih berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga. Paru-paru kanan remaja tersebut dilaporkan tidak lagi berfungsi akibat pembesaran tumor.

Prosedur untuk mengeluarkan cecair dari paru-paru terpaksa dibatalkan kerana tiada cecair dikesan, manakala saiz tumor pula masih belum mengecil ke tahap yang membolehkan pembedahan dijalankan.
Amyza sekali lagi merayu orang ramai agar mendoakan kesembuhan anak-anaknya serta berharap diberikan keajaiban dalam proses rawatan mereka.
Untuk rekod, pada 15 Februari tahun lalu, Amyza mengumumkan bahawa Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Sumber: Instagram Amyza Aznan
