Sepucuk surat kecil yang ditulis ketika bermain rupa-rupanya menjadi kenangan terakhir sebelum tragedi minum Methadone meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun di Kajang.
Lebih menyentuh hati, arwah dikatakan seolah-olah sudah memberi bayangan tentang pemergiannya sehari sebelum kejadian berlaku.
MANGSA MAUT TERSILAP MINUM METHADONE, SEMPAT TULIS SURAT

Gambar Sinar Harian: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia akibat keracunan methadone di Sungai Ramal Baru di sini pada Rabu, sempat menulis sepucuk surat penghargaan kepada rakan-rakannya.
Menurut pendedahan seorang individu yang dipercayai sebagai bapa saudaranya di ruangan komen TikTok, arwah sempat menulis surat penghargaan ketika bermain bersama rakan-rakan.
“Dia buat surat terima kasih sebab sudi jadi kawannya. Perkara itu kawan-kawannya sendiri beritahu kepada saya. Arwah juga memang jenis suka belanja kawan.
“Lepas itu dia (arwah) cakap dia akan meninggal dulu dekat kawan-kawan dia, seolah-olah dia tahu dia akan pergi,” katanya menggunakan nama hiddenbabyyeah.
Kata-kata itu kini menjadi memori terakhir yang meruntun hati keluarga dan sahabatnya.
Baca juga: Semput Naik Tangga Rupanya Disahkan Tibi, ‘Survivor’ Ini Kongsi Terpaksa Makan Ubat Selama 180 Hari!
Kekeliruan botol ubat yang hampir sama
Dalam masa sama, menurutnya lagi, keluarga menafikan dakwaan bahawa mangsa diberikan ubat berbahaya secara sengaja. Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada kekeliruan botol ubat yang mempunyai rupa dan label hampir sama.
Ibu mangsa ketika itu berada dalam keadaan terlalu letih selepas menjalani rawatan fisioterapi di hospital.
“Ibu dia (arwah) iaitu kakak saya tidak sangka itu sebenarnya ubat lain, sebab ubat yang diberi sama bentuk dan label pun putih jadi kakak saya anggap sama (ubat berkenaan),” katanya.
Dia turut memohon agar orang ramai menghentikan spekulasi yang tidak tepat.
“Saya harap henti spekulasi yang terpesong, ini adalah tersilap (beri), bukan istilah diberi (secara sengaja),” katanya menerusi ruangan komen di TikTok.
Ketika kejadian, tiga daripada empat beradik mengambil ubat berkenaan, manakala abang sulung terselamat kerana tidak memakannya.

Gambar hiasan.
Dua adik masih dirawat di ICU
Dalam perkembangan terkini, dua lagi adik mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dilaporkan kritikal namun stabil serta sudah sedar.
“Mereka akan menjalani rawatan lanjut untuk membuang semua sisa-sisa ubat itu,” katanya.
Terdahulu, Sirap Limau melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya di rumah mereka di Sungai Ramal Baru, Kajang.
Susulan kejadian itu, polis menahan ibu kepada tiga kanak-kanak terbabit bagi membantu siasatan. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan penahanan wanita berusia 35 tahun berkenaan.
Sumber: Berita Harian / Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian / Berita Harian
