Tragedi menyayat hati membabitkan ibu kandung yang dipercayai memberi minum metadon kepada tiga anaknya berakhir dengan kematian seorang kanak-kanak lelaki, manakala dua lagi adiknya kini dalam keadaan kritikal.
Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kediaman di Sungai Ramal Baru pada pagi Rabu sebelum ketiga-tiga beradik itu dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
3 ANAK DIBERI MINUM METADON

Gambar hiasan BH.
Mangsa yang meninggal dunia berusia 11 tahun, manakala dua adiknya masing-masing berusia sembilan dan lima tahun dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Menurut sumber, polis menerima makluman berhubung kejadian itu jam 9.01 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN).
“Pihak hospital memaklumkan menerima tiga pesakit iaitu kanak-kanak lelaki pada jam 7.50 pagi.
“Malangnya, anak sulung berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia, manakala adik bongsu berusia lima tahun kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang lagi di Zon Merah Unit Kecemasan,” katanya ketika dihubungi media, semalam.
Mayat kini berada di Jabatan Forensik HTPN untuk tindakan lanjut.
Baca juga: 10 Kluster Tibi Baharu Dikesan Di Tujuh Negeri, Johor Catat Kes Tertinggi

Gambar hiasan BH.
Dipercayai diberi ubat jenis Methadone
Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat tindakan ibu mangsa yang berusia 35 tahun memberikan ubat jenis Methadone kepada ketiga-tiga anaknya.
Metadon adalah sejenis ubat sintetik opioid yang digunakan dalam rawatan terapi gantian untuk merawat ketagihan dadah opiat, terutamanya heroin dan morfin.
Sumber sama berkata, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif wanita terbabit bertindak sedemikian dan bagaimana bekalan ubat terkawal itu diperoleh.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan sementara menunggu laporan bedah siasat,” katanya.
Siasatan tumpu aspek pengabaian, penganiayaan kanak-kanak
Susulan kejadian itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan kematian kanak-kanak berusia 11 tahun dikatakan diberi cecair Methadone oleh ibunya.
Seksyen itu menggariskan kesalahan membabitkan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata kedua-dua ibu bapa mangsa berusia 35 dan 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Sumber: Berita Harian (1), (2)
FT Image: Berita Harian
