Pemilihan jenis baju kurung yang tepat memainkan peranan penting dalam membentuk penampilan kemas dan profesional, terutamanya ketika menghadiri sesi temu duga di sektor kerajaan.
Bbukan soal cantik atau bergaya, sebaliknya berkait rapat dengan imej kemas, sopan dan profesional yang mencerminkan kesediaan seseorang untuk berada dalam sektor perkhidmatan awam.
Baca juga: Harga Terkini Kos Bersalin Di Hospital Kerajaan Dari Kelas 1 Hingga Kelas 3, ‘Save’ Untuk Rujukan!
JENIS BAJU KURUNG SESUAI UNTUK TEMU DUGA KERJA

Hakikatnya, baju kurung yang dipakai boleh menjadi seolah-olah ‘resume pertama’ sebelum calon sempat membuka mulut menjawab soalan.
Ramai calon sebenarnya mempunyai kelayakan dan potensi yang baik, namun gagal memberikan pandangan pertama yang meyakinkan hanya kerana pemilihan pakaian yang kurang sesuai.
Antara kesilapan yang sering berlaku termasuklah memilih kain yang terlalu melekap, corak yang terlalu sarat, warna yang terlalu terang serta hiasan berlebihan seperti labuci atau kain berkilat.
Tanpa disedari, pemilihan pakaian sebegini boleh mengalihkan fokus panel daripada keupayaan dan jawapan calon kepada aspek penampilan semata-mata.
Panel temuduga tidak mencari calon yang paling bergaya, tetapi calon yang kelihatan berkeyakinan, tersusun dan kemas serta bersedia untuk bekerja
Penampilan yang sederhana tetapi profesional membantu panel memberi tumpuan sepenuhnya kepada cara calon berkomunikasi, berfikir dan menjawab soalan.
Panduan pilih baju kurung sesuai

Bagi temuduga kerja kerajaan, calon wanita disarankan memilih baju kurung dengan fabrik yang kemas dan tidak jarang:
- Suiting
- Linen
- Kapas
Fabrik ini bukan sahaja selesa, malah memberi struktur yang baik dan tampak profesional.
Dari segi corak dan warna, pilih rekaan minimum dengan satu atau dua tona warna yang tenang seperti:
- Corak kosong
- Jalur halus
- Tekstur lembut
Jangan pakai baju kurung motif bunga besar, kartun atau warna-warna terang yang mencolok mata.
Potongan pula sebaiknya longgar dan sopan, tidak melekap pada tubuh. Potongan yang kemas membantu calon bergerak dengan selesa serta menampilkan imej yang lebih yakin dan matang.
Pemilihan pakaian yang tepat bukan sahaja memberi kesan kepada panel, malah membantu calon sendiri berasa lebih yakin dan fokus. Apabila pakaian tidak menjadi gangguan, calon boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian jawapan dan interaksi semasa temuduga.
Ringkasnya, baju kurung yang dipilih dengan betul membantu panel melihat siapa anda sebagai bakal penjawat awam, bukan sekadar apa yang anda pakai.
Simpan panduan ini sebagai rujukan sebelum hadir ke temuduga. Kadangkala, langkah kecil seperti memilih pakaian yang sesuai mampu memberi kesan besar terhadap peluang masa depan.
Baca juga: Budak 6 Tahun Alami Batuk Berpanjangan, Muntah Keluar Cacing Yang Merayap Dari Usus Hingga Tekak!
