Status sebagai wanita muslim dan ibu kepada seorang cahaya mata bukan penghalang untuk berjaya di peringkat global, apabila Dr Nur Shahidah Abdul Rashid, 34, membuktikan kemampuan anak Malaysia menembusi bidang kejuruteraan nuklear di Perancis.
“Saya bangga dan terharu kerana menjadi satu-satunya rakyat Malaysia di sini. Tapi rasa takut dan gementar pun ada kerana bertanggungjawab menjaga nama baik negara dan agama di mata dunia,” ujar beliau.
Baca juga: Throwback Zaman Dulu! Ini 8 Wajah Terkini Pelakon Kanak-Kanak Popular & Karya Ikonik Mereka
WANITA MUSLIM MALAYSIA BEKERJAYA JURUTERA NUKLEAR DI PERANCIS

Gambar Ihsan Muhammad Abd Rahman: Nur Shahidah berkhidmat sebagai jurutera keselamatan nuklear di Perancis sejak Oktober 2025.
Demikian kata Dr Nur Shahidah yang kini berkhidmat sebagai jurutera keselamatan nuklear di Autorité de sûreté nucléaire et de radioprotection (ASNR), iaitu autoriti nuklear di Perancis.
Kepakaran beliau dalam industri nuklear menjadikannya satu-satunya anak Malaysia yang berkhidmat di agensi berkenaan sejak Oktober tahun lalu.
Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Nuklear Lanjutan (Pengurusan Sisa Radioaktif) dari Universiti Pohang Sains dan Teknologi (POSTECH), Korea Selatan itu meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan, apatah lagi menyedari peluang berkenaan bukan mudah diperoleh oleh sesiapa.
Keputusan untuk berhijrah ke Perancis dibuat selepas tamat tempoh berpantang anak sulung demi menimba pengalaman dan menyahut cabaran bekerja di luar negara.
“Sebelum bekerja, saya pernah menetap hampir tujuh tahun di Korea Selatan kerana menyambung pengajian di sana dan lebih setahun di Vienna, Austria. Jadi tiada masalah untuk merantau cuma bezanya di Perancis bukan belajar tapi bekerja.
Penguat semangat saya adalah suami (Muhammad Abdul Rahman Ismail, 34) dan anak lelaki berumur lapan bulan yang tinggal bersama di Perancis kerana sepanjang sembilan tahun berkahwin, kami tinggal berjauhan dan baru sekarang duduk sebumbung,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam menjalankan tugas di ASNR, Dr Nur Shahidah terlibat secara langsung dalam pengendalian dan semakan lesen reaktor modular kecil (SMR) serta reaktor modular termaju (AMR).
Selain itu, beliau turut membuat analisis dan simulasi pencemaran radionuklid serta bahan kimia toksik terhadap alam sekitar dan manusia menggunakan perisian SYMBIOSE, di samping merangka pelan pengurusan terhadap alam sekitar dan manusia.
Cabaran Dr Nur Shahidah bekerja di negara asing

Gambar Ihsan Muhammad Abd Rahman.
Beliau mengakui perjalanan kerjaya di negara asing bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila melibatkan sistem kerja kerajaan Perancis yang berbeza daripada pengalaman terdahulu.
“Tak mudah untuk saya sebenarnya kerana tiada pengalaman bekerja dengan kerajaan Perancis, jadi perlu ambil masa selama satu hingga tiga bulan untuk biasakan diri dan perlu membaca banyak dokumen terjemahan daripada bahasa Perancis ke bahasa Inggeris.
“Cabaran lain adalah komunikasi kerana perlu cepat sesuaikan diri mengikut keadaan dan berbincang jika ada permasalahan kerana bekerja dalam satu pasukan.
Ia kerana walaupun dipilih oleh ASNR, saya bukan hanya berkhidmat untuk kerajaan Perancis, tetapi semua negara terbabit dan kerap bermesyuarat supaya kesemua ahli memahami skop tugas masing-masing,” ujarnya.
Selain tugas utama, beliau juga terlibat dalam projek sampingan pengendalian lesen pembinaan Cigéo, iaitu Repositori Geologi Dalaman untuk Sisa Radioaktif.
Berikan terbaik untuk menjaga imej Islam & Malaysia
Disebabkan usia dan penampilannya, Nur Shahidah mendedahkan ramai yang tidak menyangka beliau memiliki PhD serta pernah menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi besar termasuk Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Kajian Tenaga Atom Korea (KAERI) dan beberapa agensi lain.
Namun, beliau percaya tiada yang mustahil dengan izin dan kekuasaan Allah SWT, selain bertawakal serta sabar menempuh setiap ujian dalam kehidupan.
“Sebagai isteri dan wanita Muslim, saya cuba yang terbaik dan semat di fikiran untuk jaga nama baik Malaysia dan imej Islam di mata dunia.
Dalam kerjaya pula, saya berusaha membuktikan kebaikan teknologi dan tenaga nuklear di mata dunia selain menyangkal mitos dan cerita rekaan mengenainya (nuklear).
“Jauh lagi perjalanan saya namun baru-baru ini, saya tercalon dalam senarai simpanan Pegawai Pelindung di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Jika diberi peluang, sudah tentu saya amat berbesar hati untuk kembali mencurah bakti di tanah air,” katanya yang juga lulusan Sarjana Muda Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia.
Baca juga: Membanggakan! Pakar Jantung IJN Terpilih Wakili Malaysia Sertai Pasukan Perubatan Sultan Brunei
Sumber: Harian Metro
FT Image: Harian Metro
