Menjelang beberapa minggu sahaja lagi sebelum kedatangan bulan puasa, promosi buffet ramadan mula membanjiri media sosial, radio dan papan iklan apabila restoran serta hotel giat menawarkan pakej berbuka puasa kepada orang ramai.
Namun begitu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) tampil mengeluarkan peringatan tegas kepada semua pengusaha makanan agar tidak menggunakan istilah “Buffet Ramadan” atau seumpamanya sekiranya mereka tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
LARANGAN ISTILAH “BUFFET RAMADAN” JIKA PREMIS TIADA SIJIL HALAL

Sekadar gambar hiasan.
Menurut JHEAINS menerusi satu hantaran di media sosial, penggunaan istilah berkenaan boleh mengelirukan serta memperdayakan pengguna Muslim, dan perbuatan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Jika disabitkan kesalahan, pengusaha terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
Istilah promosi yang dilarang digunakan tanpa SPHM
JHEAINS turut menyenaraikan beberapa istilah yang tidak dibenarkan digunakan untuk tujuan promosi sekiranya tiada sijil halal, antaranya:
- Buffet (Bufet) Ramadan
- Set Iftar
- Jom Berbuka Puasa
- Muslim Friendly
Larangan ini bukan sahaja terhad kepada papan tanda premis, malah melibatkan semua medium pengiklanan, termasuk:
- Radio
- Televisyen
- Akhbar
- Banner atau kain rentang
- Billboard atau papan iklan
- Flyers atau risalah
- Media sosial

Orang ramai boleh buat aduan
Dalam masa sama, JHEAINS memaklumkan orang ramai digalakkan membuat aduan sekiranya mendapati mana-mana premis melanggar peraturan ini.
Aduan boleh dibuat kepada Bahagian Pengurusan Halal, JHEAINS melalui:
- Talian: 06-766 4234
- Emel: [email protected]
Bagaimanapun, JHEAINS menjelaskan tiada masalah untuk mana-mana pihak menggunakan perkataan buffet secara umum, selagi tidak menggunakan istilah “Buffet Ramadan” yang membawa maksud halal.
Baca juga: [TERKINI] PM Anwar Setuju TIADA Ujian Diagnostik Untuk Kemasukan Ke Darjah Satu
SELANGOR PERNAH KELUARKAN PERINGATAN SAMA
Isu berkaitan penggunaan istilah bufet Ramadan ini sebenarnya bukan perkara baharu.
Pada tahun 2022, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor ketika itu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, mendedahkan hanya 31 hotel di Selangor mempunyai sijil halal SPHM.
Situasi itu menyebabkan hotel yang bukan pemegang SPHM tidak layak menggunakan istilah ‘bufet Ramadan’ dan boleh dikenakan tindakan jika melanggar peraturan.
“Di bawah Perintah Perihal Dagangan (takrif halal) 2011, istilah bufet Ramadan merupakan antara istilah yang membawa maksud halal dan tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan kerana ianya menjadi satu bentuk perihal dagangan.
“Penggunaan istilah bufet Ramadan dalam kalangan bukan pemegang SPHM merupakan isu pelanggaran undang-undang yang boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan / Sinar Harian
FT Image: Abdullah Yusof / Grand Hyatt KL
