Kejadian bersalin dalam bas sememangnya bukan sesuatu yang dijangka, apatah lagi apabila melibatkan ibu hamil kembar yang sedang dalam perjalanan jauh menaiki bas jarak jauh, baru-baru ini.
Apa yang sepatutnya menjadi perjalanan rutin bertukar menjadi detik paling mendebarkan dalam hidup seorang wanita apabila kontraksi datang tanpa amaran. Bukan di hospital, bukan juga di bilik bersalin, sebaliknya proses kelahiran berlaku di tengah perjalanan, jauh daripada kemudahan perubatan lengkap.
Baca juga: 11 Tahun Menanti Zuriat, Pemandiri Kanser Payudara ‘Rare’ Ini Akhirnya Bergelar Ibu!
WANITA BERSALIN DALAM BAS SELAMAT LAHIRKAN KEMBAR

Berdasarkan sumber, kejadian luar jangka ini berlaku di Bandar Huế, Vietnam. Biarpun tidak melibatkan negara kita, kisah ini wajar dijadikan pengajaran, khususnya kepada ibu hamil agar lebih peka terhadap faktor keselamatan dan risiko semasa melakukan perjalanan jauh.
Kontraksi datang mengejut ketika dalam perjalanan
Seorang wanita hamil yang mengandungkan anak kembar dilaporkan mengalami tanda-tanda bersalin ketika menaiki bas jarak jauh dari Đắk Lắk menuju ke Hanoi bersama anaknya yang berusia dua tahun.
Menurut Pengarah Balai Kesihatan Komune Chân Mây – Lăng Cô, Phạm Văn Lợi, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 6.30 petang pada 24 Januari ketika bas melalui kawasan Komune Chân Mây, daerah Lăng Cô.
Wanita daripada etnik Êđê itu secara tiba-tiba mengalami kontraksi kuat sehingga mencetuskan suasana panik dalam bas. Pemandu serta penumpang lain segera menyedari keadaan kecemasan tersebut dan bertindak mendapatkan bantuan.
Baca juga: Tragis! Wanita Maut Selepas 6 Hari Bersalin, Gara-Gara Duduk Lama Di Salon Rambut

Tindakan pantas pasukan perubatan selamatkan ibu & bayi
Menyedari situasi kritikal itu, Encik Phạm Văn Lợi bersama seorang bidan dari balai kesihatan tempatan segera membawa kelengkapan perubatan asas dan bekerjasama dengan pihak syarikat pengangkutan.
Usaha segera dilakukan untuk membawa wanita hamil tersebut ke Pusat Perubatan Phú Lộc cawangan Chân Mây bagi memastikan keselamatan ibu serta kandungan. Namun, keadaan menjadi semakin mendesak sebelum sempat tiba ke hospital.
Pasukan perubatan terpaksa bertindak pantas dan membantu proses bersalin dalam bas secara kecemasan. Hasil kecekapan serta ketenangan mereka, dua bayi lelaki kembar berjaya dilahirkan dengan selamat, masing-masing seberat kira-kira 1.7 kilogram dan 1.8 kilogram.
Walaupun dilahirkan dalam situasi penuh risiko, kedua-dua bayi menunjukkan keadaan stabil sebaik menerima rawatan awal. Kini, ibu bersama bayinya sedang menjalani pemantauan rapi di kemudahan Chân Mây di bawah Pusat Perubatan Phú Lộc dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Kisah ini sekali lagi membuktikan bahawa tindakan pantas, koordinasi yang cekap serta kesiapsiagaan pasukan perubatan mampu menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan yang tidak dijangka.
Baca juga: Trend Bersalin Czer Kian Meningkat, Pakar Dedah Ada Kesan Pada Imun & Perkembangan Anak
Sumber: Dantri.com
FT Image: Dantri.com
