Euforia Bola 2026
Nur

Tular Dakwaan ‘Kaunter Hapus Dosa’ Di Mekah, Ini Sebenarnya Fungsi Fatwa Booth Yang Ramai Salah Faham

penghapus dosa

Sejak kebelakangan ini, media sosial kecoh apabila tular satu video memaparkan seorang lelaki berpenampilan alim duduk di dalam sebuah ruang kecil menyerupai kaunter di sekitar kawasan Mekah. Lebih mengundang perhatian, timbul dakwaan kononnya Arab Saudi kini menyediakan ‘kaunter penghapus dosa’ untuk orang ramai. Betul atau tidak?

Baca juga: Doa Untuk Perut Kempis, Hati Tenang & Gula Tak ‘Mencanak’, Amalkan Setiap Hari InsyaAllah Menjadi!

ADA KAUNTER PENGHAPUS DOSA DI MEKAH? JANGAN PANIK..INI FUNGSI SEBENAR ‘FATWA BOOTH’

penghapus dosa

Foto: BrotherRasheed

Dari sudut pandang mata kasar, situasi tersebut memang mudah mengelirukan. Ada yang menyangka ia seakan-akan bilik pengakuan dosa seperti dalam tradisi agama lain, seolah-olah sesiapa yang datang boleh terus ‘dibersihkan’ dosanya di situ. Namun, hakikat sebenar jauh berbeza daripada tanggapan yang tular itu.

Apa yang dipaparkan dalam video tersebut sebenarnya dikenali sebagai Fatwa Booth atau Fatwa Kiosk, satu perkhidmatan konsultasi hukum Islam yang telah diperkenalkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Arab Saudi sejak sekitar tahun 2019.

Pada peringkat awal, perkhidmatan ini diwujudkan dalam bentuk kiosk yang hampir menyerupai mesin ATM. Melaluinya, para jemaah boleh berhubung secara langsung dengan para ulama melalui panggilan suara atau video untuk bertanyakan hukum berkaitan ibadah, muamalat dan pelbagai isu agama lain.

Langkah ini diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan di meja mufti tradisional, khususnya ketika musim puncak seperti Ramadan dan Haji.

Dinaik Taraf Dengan Teknologi AI, Sokong Pelbagai Bahasa..Dikendalikan Ulama

penghapus dosa

Foto: @ReasahAlharmain

Memasuki tahun 2024 dan 2025, sistem Fatwa Booth ini telah dinaik taraf dengan teknologi yang lebih canggih. Difahamkan, robot generasi kedua berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) telah diperkenalkan, yang mampu menyokong sekitar 11 hingga 15 bahasa utama dunia.

Lebih menarik, Bahasa Malaysia dan Indonesia turut disertakan bagi memudahkan jemaah dari rantau Nusantara mendapatkan penjelasan hukum dengan lebih jelas dan tepat.

Walaupun teknologi robot digunakan secara meluas, ia bukan bermakna peranan manusia diketepikan. Hakikatnya, pihak Haramain telah lama menyediakan lebih 70 kiosk fizikal yang menempatkan ulama-ulama besar dan berkelayakan.

Kiosk ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada para syeikh, malah menjadi pusat tumpuan jemaah yang mahu mendapatkan penjelasan terus daripada pakar dalam suasana lebih privasi.

Lebih mengagumkan, para ulama ini bertugas secara syif 24 jam sepanjang musim puncak, memastikan jemaah sentiasa mempunyai akses kepada panduan agama yang sahih.

Jadi, dakwaan bahawa wujud ‘mesin penghapusan dosa’ di Mekah jelas TIDAK TEPAT. Apa yang ada sebenarnya ialah usaha memanfaatkan teknologi bagi memudahkan umat Islam mendapatkan panduan hukum dengan lebih cepat, tersusun dan berautoriti. Jangan percaya informasi yang tak betul ya!

Baca juga: Wanita Islam Sebilik Dengan Kawan Non-Muslim, Apa Batas Aurat Yang Perlu Dijaga? Ini Penjelasan Ustazah

Sumber: X @BrotherRasheed, Arab News

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×