Insiden kasut sekolah yang terpaksa diikat menggunakan getah oleh dua orang murid Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan mencuri perhatian ramai selepas rakaman mereka tular di media sosial, sekali gus mengundang rasa simpati warga maya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok, kelihatan dua pelajar terbabit terpaksa mengikat kasut masing-masing dengan getah kerana tidak lagi berfungsi dengan baik. Situasi itu secara tidak langsung menggambarkan realiti hidup sesetengah keluarga yang berdepan kekangan kewangan, meskipun keperluan asas seperti kasut sekolah sering dianggap remeh.
TULAR IKAT KASUT SEKOLAH GUNA GETAH, PIBG PANTAS RINGANKAN BEBAN PELAJAR

Prihatin dengan keadaan tersebut, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu tampil mengambil tindakan pantas dengan menghadiahkan sepasang kasut sekolah baharu kepada kedua-dua murid berkenaan.
Inisiatif itu disifatkan sebagai langkah segera bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara, terutamanya pada awal musim persekolahan.
Yang Dipertua PIBG SK Seri Wakaf Bharu merangkap Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) memaklumkan, bantuan tersebut diberikan sebaik kisah berkenaan tular dan menarik perhatian masyarakat.
Menurutnya, tindakan pantas itu adalah sebahagian daripada usaha memastikan murid dapat hadir ke sekolah dengan lebih selesa dan yakin.
“Alhamdulillah sekali lagi daripada kisah ‘SEPASANG KASUT YANG DIIKAT DENGAN GETAH URAT’ kami daripada MTRK berkesempatan menghadiah kasut baru kepada 2 orang murid di SK Seri Wakaf Bharu, Tumpat.
“Terima Kasih tidak terhingga kepada Presiden MTRK merangkap YDP PIBG SK Seri Wakaf Bharu kerana sentiasa cakna dan bertidak pantas agar mereka ini dapat merasa memakai kasut baru di awal persekolahan,” katanya menerusi kapsyen hantaran tersebut.
WAJAH TAMPAN PELAJAR TURUT JADI PERHATIAN WARGA MAYA

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa terharu dan memuji tindakan pantas PIBG serta MTRK yang disifatkan wajar dicontohi.
Ramai berharap agar lebih banyak pihak tampil membantu pelajar kurang berkemampuan agar mereka tidak tercicir dalam pelajaran hanya kerana kekurangan keperluan asas.
Namun dalam keharuan kisah tersebut, selain doa dan kata-kata semangat agar kedua-dua murid tersebut terus berjaya dalam pelajaran dan kehidupan, perhatian warga maya turut tertumpu kepada rupa paras salah seorang murid yang dikatakan memiliki wajah tampan.
Ada yang berseloroh menyifatkan kanak-kanak itu berpotensi menjadi model pakaian sekolah, malah tidak kurang juga yang memuji raut wajahnya yang bersih dan menawan.
“Masha Allah comelnya adik berdua ini. Boleh jadi model baju raya 2026. Good luck dan all the best untuk adik berdua di dunia & akhirat. Semoga sentiasa dikurniakan rezeki yang melimpah ruah Aamin!” komen seorang warga maya.
“Muka adik tu tak macam anak orang susah. Tampan sungguh,” komen warga maya lain.
“Tampan adik ini…pengetua yang baik dan cakna,” puji seorang warga maya.
Reaksi santai itu sedikit sebanyak menceriakan perbincangan, di sebalik kisah yang menyentuh emosi ramai.
Apa pun, perkongsian mengenai kasut sekolah yang diikat dengan getah ini membuktikan bahawa keprihatinan kecil mampu memberi impak besar.
Dengan sokongan masyarakat dan sikap saling mengambil berat, kebajikan murid sekolah dapat terus dipelihara, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan penuh empati.
@majlistindakanrakyat 18 Januari 2026: Alhamdulillah sekali lagi daripada kisah “SEPASANG KASUT YANG DIIKAT DENGAN GETAH URAT” kami daripada MTRK berkesempatan menghadiah KASUT BARU kepada 2 orang murid di SK SERI WAKAF BHARU, TUMPAT. Terima Kasih tidak terhingga kepada Presiden MTRK merangkap YDP PIBG SK SERI WAKAF BHARU kerana sentiasa cakna dan bertidak pantas agar mereka ini dapat merasa memakai Kasut Baru di awal Persekolahan.#MTRK #majlistindakanrakyatkelantan #PrihatinRakyat #PeduliPendidikan #MTRKCaknaKomuniti ♬ Thank You Allah (feat. Cat Farish & Ustaz Haris) – Alyah
Sumber: TikTok @majlistindakanrakyat
FT Image: TikTok @majlistindakanrakyat
