Dalam dunia serba pantas hari ini, tidak ramai pengusaha taska sanggup turun sendiri ke dapur, memasak makanan taska dari awal hingga siap untuk anak-anak jagaan mereka.
Namun berbeza kisahnya dengan seorang pemilik taska di Bangi ini yang mencuri perhatian ramai ibu bapa dan pengguna di laman Threads apabila makanan yang disajikan di taska tersebut adalah hasil air tangan sendiri.
Makanan Taska Dimasak Sendiri Oleh ‘Owner’… Menu Berbeza Setiap Hari, Bukan Makanan Proses

Foto: Antara menu taska yang digemari.
Di Taska Si Comel Bunda, yang terletak di Pangsapuri Putra Impian Blok CD & E, Bandar Seri Putra, pemiliknya bukan sekadar menguruskan operasi harian. Malah, beliaulah sendiri yang menyediakan makanan pagi dan tengah hari untuk anak-anak taska setiap hari.
Apa yang membuatkan ibu bapa benar-benar lega adalah menu di taska ini tidak diulang-ulang dan bukan makanan proses. Setiap hari, anak-anak disajikan menu berbeza yang dirancang dengan teliti.
Jika hidangan ayam kisar disediakan, isi ayam segar digunakan dan dikisar sendiri, bukan ayam proses atau segera. Sayur pula wajib ada setiap hari, begitu juga dengan buah-buahan segar yang ditukar ganti seperti hari ini epal, esok mungkin tembikai dan lusa pisang atau oren.
Pendek kata, setiap hari menu berlainan, setiap hari nutrisi dijaga.
Menariknya, walaupun terdapat tambahan seperti fishball untuk guru, anak-anak tidak dibenarkan makan makanan tersebut. Perkara ini telah dimaklumkan awal kepada para pendidik di taska sebagai langkah menjaga pemakanan kanak-kanak. Prinsipnya jelas, apa yang masuk ke perut anak-anak, mesti bersih, sihat dan berkhasiat.
Ibu Bapa Dimaklumkan Setiap Hari, Amanah Dijaga Sepenuh Hati

Foto di taska.
Setiap kali selesai memasak, pemilik taska ini akan mengemas kini menu harian kepada ibu bapa, memaklumkan apa yang telah dimakan oleh anak mereka pada hari tersebut.
Apa yang menyentuh hati, setiap kali membaca balasan ibu bapa, perasaan lega dan syukur jelas terpancar.
“MasyaAllah… bila baca reply parent, saya rasa lega. Amanah yang Allah izinkan ini, saya akan cuba jaga sebaik mungkin..” tulisnya.
Perkongsian ini mendapat reaksi positif dalam kalangan netizen yang turut bergurau ingin disajikan dengan menu harian sebegini walaupun sudah bergelar orang dewasa.
“Taska mana puan.. Terima tak budak umur 38 tahun? Pandai tidur sendiri, mandi sendiri and makan pun suap sendiri..” tulis netizen.
Kisah ini mengingatkan kita bahawa taska bukan sekadar tempat menghantar anak, tetapi ruang amanah yang besar. Apabila pemiliknya sendiri turun tangan, memasak dengan niat dan kasih sayang, ia bukan lagi soal perniagaan tetapi tanggungjawab dan keikhlasan.
Semoga kisah Taska Si Comel Bunda ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pengusaha taska dan juga ibu bapa, bahawa penjagaan anak yang baik bermula dari dapur yang ikhlas.
@tscb.bsp Acara paling ditunggu – makan 😂 #taska #taskabsp #bandarseriputra #happykidshappyteacher🤗 #kid ♬ Pumpkin pie – Oneul
Sumber: Threads @nurttnv
