Isu bakar semut mungkin kelihatan remeh dalam kehidupan seharian, namun dari sudut pandang Islam, perbuatan tersebut melibatkan persoalan hukum dan prinsip ihsan terhadap makhluk hidup.
Penjelasan mengenai hukum bakar semut ada diulas oleh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, berdasarkan dalil hadis Nabi Muhammad SAW serta pandangan para ulama yang menegaskan larangan menyeksa haiwan dengan api.
Baca juga: Amalkan Doa INI Setiap Hari, InsyaAllah Fikiran Kotor & Negatif Akan Hilang Perlahan-Lahan…
HUKUM BAKAR SEMUT YANG ‘BERKAMPUNG’ DALAM RUMAH

Freepik
Menurut penjelasan Ustaz Azhar Idrus, hukumnya adalah haram membunuh haiwan dengan cara membakar, walaupun haiwan tersebut termasuk dalam kategori yang dibenarkan untuk dibunuh.
Larangan ini adalah jelas berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Muhammad bin Hamzah Al-Aslami, daripada bapanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّهُ لَا يُعَذِّبُ بِالنَّارِ إِلَّا رَبُّ النَّارِ
Maksudnya: “Maka sungguhnya tidaklah mengazab dengan api melainkan Tuhan pencipta api.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam riwayat lain yang direkodkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak boleh menyiksa dengan api kecuali Allah.”
Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa penggunaan api sebagai alat penyeksaan atau pembunuhan adalah hak mutlak Allah SWT dan tidak dibenarkan ke atas makhluk-Nya.
Larangan ini turut ditegaskan dalam himpunan fatwa Negeri Jordan (No. Fatwa: 3038) yang menyatakan bahawa menyiksa dengan api adalah haram di sisi syarak tanpa mengira kesalahan makhluk tersebut. Bahkan, perbuatan itu disifatkan sebagai suatu kezaliman yang besar.

Freepik
Fatwa tersebut menegaskan bahawa Islam bukan sahaja melarang pembakaran manusia, malah turut melarang pembakaran haiwan dan serangga, serta memerintahkan umatnya agar bersikap ihsan dan berlembut terhadap semua makhluk, lebih-lebih lagi sesama manusia.
Walaupun Islam membenarkan pembunuhan terhadap haiwan tertentu yang memudaratkan, cara pembunuhan mestilah dilakukan tanpa penyeksaan, selaras dengan prinsip ihsan yang dituntut oleh syariat.
Membakar semut atau mana-mana haiwan hidup adalah perbuatan yang ditegah dan bercanggah dengan ajaran Islam. Umat Islam diseru agar memilih kaedah lain yang lebih berperikemanusiaan dan tidak menyeksa makhluk Allah.
Baca juga: Rupanya Ada 3 Jenis Solat Makmum Tak Boleh Ikut Imam, Jangan Sampai Solat Jadi TAK Sah!
Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus
