Euforia Bola 2026
Nur

Ustazah Asma’ Jelaskan Hukum Bersentuhan Bukan Mahram WALAU Berlapik, Jangan Ingat Semua Boleh Ya!

hukum bersentuhan

Ramai mungkin belum mengetahui bahawa hukum bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram, walaupun dilakukan secara berlapik. Larangan ini tidak bergantung kepada wujud syahwat, tetapi bertujuan menjaga batas pergaulan dan mengelakkan fitnah.

Menurut Mazhab Syafi‘i, terdapat rukhsah yang sangat terhad membenarkan bersalaman tapak tangan dengan lapik dalam keadaan tertentu, tetapi ia bukan hukum umum dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan sentuhan dalam lakonan atau seni.

Baca juga: Ustaz Kongsi 4 Kunci Utama Untuk Kekal Istiqamah Baca al-Quran, Rasa Tak ‘Best’ Jika Sehari Tak Baca

HUKUM BERSENTUHAN BUKAN MAHRAM WALAU BERLAPIK

hukum bersentuhan

Gambar hiasan penulis.

Penjelasan bersalaman atau bersentuhan berlapik:

Hukum bersalaman antara lelaki dan perempuan bukan mahram dengan tangan berlapik adalah HARUS selagi selamat daripada fitnah.

Imam al-Ramlī dalam Nihāyat al-Muḥtāj menyatakan:

“Dan DIHARUSKAN bagi seorang lelaki menggosok (mengurut) paha lelaki yang lain dengan syarat adanya lapik dan aman daripada fitnah. Daripada hukum ini juga difahami keharusan berjabat tangan dengan wanita ajnabi dengan kedua-dua syarat tersebut.

“Namun, difahami daripada pengkhususan keharusan itu pada jabat tangan sahaja, maka haram menyentuh selain wajah dan tapak tangan wanita ajnabi walaupun berlapik.”

Pandangan ini selari dengan Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuḥfat al-Muḥtāj.

Garis panduan ulama untuk sentuhan ajnabi:

  1. Wujud hajat dan keperluan yang sah.
  2. Kebiasaan tidak dapat dielak.
  3. Hanya menyentuh muka dan tapak tangan; anggota lain walaupun berlapik tetap HARAM.

Sentuhan yang masih dapat dirasai bentuk anggota walaupun berlapik boleh jatuh kepada haram jika tidak aman daripada fitnah atau disertai syahwat. Situasi ini sering berlaku dalam lakonan apabila seseorang memegang lengan walaupun berlapik, tetapi bentuk lengan jelas terasa.

Seni lakonan tidak mengubah hukum

  • Lakonan, skrip, watak dan profesionalisme tidak menghalalkan sentuhan ajnabi.
  • Muslim wajib mengelakkan sentuhan ajnabi walaupun atas nama seni atau drama.

Baca juga: Ramai ‘First Time’ Dengar Puasa Nabi Daud, Rupanya Sunat Dibuat Setiap Selang Sehari & Disukai Allah

hukum bersentuhan

Gambar hiasan: Freepik

Sentuhan dibenarkan dalam keadaan darurat

  1. Rawatan perubatan
  2. Kemalangan
  3. Menyelamatkan nyawa
  4. Keadaan terpaksa tiada pilihan lain

Hanya kadar keperluan sahaja dibenarkan, tanpa melampaui batas syarak.

Suami dan maruah isteri

  1. Suami wajib menjaga kehormatan isterinya.
  2. Mengizinkan isteri disentuh ajnabi dalam lakonan bukan darurat adalah perbuatan yang sangat berbahaya.

Daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda:

“Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat: orang yang menderhaka kepada ibu bapanya, perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang dayus.” (HR al-Nasa’i)

Kesimpulan

  1. Hukum asal menyentuh ajnabi adalah haram walaupun tanpa syahwat.
  2. Sentuhan berlapik tetap haram jika tiada keperluan syarak.
  3. Khilaf bersalaman berlapik hanyalah rukhsah terhad dan terikat syarat.
  4. Unsur lakonan dan seni tidak mengubah hukum syarak.
  5. Bersetuhan ketika darurat hanya dibenarkan sekadar keperluan.
  6. Suami wajib menjaga maruah isterinya.
  7. Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita ajnabiyah walaupun untuk urusan agama.

Rujukan:

1. Ustaz Dr Syed Shahridzan bin Syed Mohamad
2. ⁠Ustaz Azhar Idrus, Hukum Sentuh Perempuan Berlapik

Baca juga: Ingatkan Tak Boleh Doa, Rupanya Ada Ucapan Sunnah Kepada Orang Bukan Islam Yang Bersin Depan Kita

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

FT Image: Freepik

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×