Noor Fatin, 33, berkongsi bahawa perkahwinannya dengan Mohd Farizuwan Barkari, 27, yang sebelum ini merupakan adik ipar, hadir pada saat dia masih bergelut dengan kesedihan kehilangan suami terdahulu.
Kehadiran lelaki yang kini bergelar suami bukan sekadar teman hidup, malah menjadi sandaran emosi buat dirinya dan anak-anak.
Baca juga: Rezeki Tak Disangka, Tuan Rumah Bantu Ringankan Beban Keluarga 4 Anak Dengan Sewa Percuma!
KAHWIN DENGAN ADIK IPAR SELEPAS KEMATIAN SUAMI

Pasangan itu disatukan pada 3 Januari lalu, kira-kira lima bulan selepas Allahyarham Mohd Farid Barkari meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung.
Menurut Noor Fatin, dia sama sekali tidak meletakkan sebarang harapan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat kerana masih dalam fasa merawat luka kehilangan insan tersayang.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui hidupnya terasa kosong selepas pemergian arwah suami yang telah bersamanya hampir sedekad sejak mendirikan rumah tangga pada 2015.
“Pemergiannya benar-benar meruntun perasaan. Dua bulan pertama saya hampir tiada selera makan dan sentiasa rasa hilang arah. Dalam hati, saya fikir mungkin tiada lagi lelaki yang sanggup menerima saya seadanya selepas ini,” katanya.
Sepanjang tempoh idah, Noor Fatin berkata ada individu yang cuba mendekatinya, namun semuanya tidak diendahkan kerana dia langsung tidak terfikir untuk mencari pengganti.
Katanya, sepanjang bergelar adik ipar, hubungan mereka sangat berlapik dan menjaga batas, malah jarang berbual walaupun tinggal berdekatan.
“Selepas arwah meninggal dunia, keluarga mentua termasuk suami sekarang sangat mengambil berat tentang saya dan anak-anak. Mereka banyak membantu dan memberi sokongan.

“Pada satu hari bulan lalu, mereka datang berjumpa saya dan waktu itulah dia menyatakan niat untuk berkahwin. Saya terima dengan hati terbuka kerana merasakan Allah SWT melembutkan hati saya, tetapi saya minta supaya dia berbincang dahulu dengan anak-anak dan keluarga saya,” ujarnya.
Syukur, hasrat tersebut mendapat persetujuan semua pihak dan anak-anak juga dapat menerima keputusan itu dengan baik, sekali gus membuka jalan untuk mereka membina rumah tangga.
Mengakui perasaan janggal pada awal perkahwinan, Noor Fatin berkata fasa pertama selepas bernikah sedikit kekok memandangkan mereka tidak melalui tempoh berkenalan seperti pasangan lain.
“Kami boleh dikatakan mula mengenali satu sama lain selepas kahwin. Perasaan malu itu ada, apatah lagi sebelum ini dia panggil saya kakak. Tapi alhamdulillah, semuanya semakin selesa selepas hari kedua. Anak-anak juga dapat menyesuaikan diri dan dia melayan mereka dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Sementara itu, Mohd Farizuwan turut menganggap perkahwinan tersebut sebagai aturan terbaik daripada Allah SWT meskipun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkahwin dengan bekas kakak iparnya.
Menurutnya, arwah abang pernah berpesan supaya dia membantu menjaga isteri dan anak-anak sekiranya sesuatu berlaku.
Sumber: Berita Harian
