Di sebalik risiko kehamilan usia lanjut, seorang wanita berusia 62 tahun memilih untuk hamil semula selepas kehilangan anak tunggalnya, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.
Wanita warga emas itu dipercayai menganggap bayi yang dikandungnya sebagai ‘kembalinya’ anak lelaki tunggalnya yang meninggal dunia awal tahun lalu.
KEHAMILAN USIA LANJUT, WANITA 62 TAHUN DISAHKAN MENGANDUNG

Freepik
Menurut laporan, wanita berkenaan kehilangan anak tunggalnya pada Januari 2025. Namun butiran lanjut mengenai usia atau punca kematian anak tersebut tidak didedahkan.
Kehilangan itu memberi kesan emosi yang mendalam memandangkan anak tersebut adalah satu-satunya zuriat yang dimiliki sepanjang hidupnya.
Beberapa bulan selepas tragedi itu, wanita tersebut disahkan hamil hasil rawatan persenyawaan in vitro (IVF). Ini merupakan kehamilan kedua dalam hidupnya dan yang pertama pada usia lanjut.
Dalam sebuah video yang dimuat naik pada penghujung Disember lalu, wanita berambut kelabu itu dilihat tenang berkongsi pengalaman kehamilannya di hadapan kamera. Dia menyatakan bayinya aktif bergerak dan kerap menendang perutnya, terutamanya selepas dia mengambil makanan manis.
Disebabkan amalan perubatan di China yang melarang doktor mendedahkan jantina bayi kepada ibu hamil, wanita itu hanya membuat andaian berdasarkan kepercayaannya sendiri. Katanya, ramai yang memberitahu bahawa kegemarannya terhadap makanan manis mungkin petanda dia mengandung bayi lelaki.

Kredit: Douyin
Disebabkan faktor usia, wanita itu menjalani pemeriksaan pranatal dengan lebih kerap berbanding ibu hamil lain. Pakar perubatan memberi peringatan bahawa kehamilan pada usia terlalu lanjut membawa risiko tinggi.
Menurut Chen Min, pakar obstetrik kanan di Hospital Harbin No.1, wanita pada usia sebegitu berdepan kemungkinan komplikasi yang jauh lebih tinggi berbanding wanita muda.
“Kami tidak menggalakkan wanita hamil pada usia terlalu lanjut kerana risikonya sangat tinggi. Kebanyakan mereka hanya boleh melahirkan bayi melalui pembedahan caesarean dan prosedur itu sendiri juga berisiko,” katanya.
Pilihan wanita itu mencetuskan perdebatan dengan beberapa netizen mempersoalkan kemampuan fizikal pasangan itu untuk membesarkan anak selain bimbang bayi berkenaan bakal menjadi yatim piatu.
Baca juga: Rezeki Tak Disangka, Tuan Rumah Bantu Ringankan Beban Keluarga 4 Anak Dengan Sewa Percuma!
Sumber: South China Morning Post
