Baru-baru ini, tindakan seorang usahawan terkenal menempah set kain kafan premium daripada seorang pereka fesyen ternama menjadi bualan ramai.
Reaksi pelbagai muncul, ada yang melihatnya sebagai persiapan mengingati mati, manakala sebahagian lain tertanya-tanya hukum dan niat di sebalik pembelian tersebut dari sudut agama.
HUKUM BELI SET KAIN KAFAN YANG MAHAL

Gambar hiasan.
Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff menjelaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya mengingati kematian.
Mengingati mati adalah sunnah Nabi Muhammad SAW supaya manusia sentiasa menjauhi maksiat dan memperbaiki diri.
Menurut beliau, tiada nas yang jelas dalam al-Quran atau hadis yang mengharamkan seseorang membeli kain kafan mahal. Namun, hukum perbuatan tersebut berubah bergantung kepada situasi dan niat individu.
ADA TIGA HUKUM BERDASARKAN SITUASI TERTENTU
Dalam perkongsian beliau di Facebook, hukum ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama:
1. Harus
- Seseorang boleh membeli set kain kafan mahal sejajar dengan kemampuan hidupnya.
- Perbuatan dirahsiakan dan hanya dimaklumkan kepada ahli waris.
- Niatnya adalah baik: memastikan persiapan ibadah selari dengan realiti kehidupan di dunia.
- Tidak mengabaikan tanggungjawab agama lain seperti zakat, sedekah, hadiah dan wakaf.
- Situasi ini disamakan dengan jemaah memilih pakej haji mewah demi keselesaan tanpa melalaikan tuntutan agama lain.
2. Makruh tetapi tidak berdosa
- Jika pembelian diuar-uarkan kepada khalayak ramai bagi tujuan promosi produk atau kandungan.
- Tiada niat takbur atau sombong.
- Walau tidak berdosa, perbuatan ini boleh mencetuskan perdebatan dalam masyarakat Islam.
3. Haram
- Jika pembelian kain kafan mahal diuar-uarkan dengan niat riak, sombong atau menghina set kain kafan murah yang menjadi adat masyarakat.
- Perbuatan ini bertentangan dengan nilai kesederhanaan dan keikhlasan dalam Islam.
- Tindakan yang jelas menjurus kepada riak, sombong atau penghinaan boleh dianggap haram.

Gambar hiasan (Harian Metro)
Prof Dr Mohd Izhar menegaskan bahawa niat seseorang tidak boleh dihukum secara sembarangan, tetapi jika perbuatan nyata menimbulkan riak atau sombong, hukum haram boleh dikenakan.
Beliau berharap penjelasan ini dapat memberi kefahaman lebih seimbang kepada masyarakat dan meredakan polemik.
Sumber: Facebook Dr Mohd Izhar Ariff
FT Image: urbanadvertising / Harian Metro
