Setahun yang lalu, kisah 7 beranak yang terpaksa tidur dalam kereta menarik perhatian ramai apabila mereka terpaksa tinggal dalam sebuah kereta usang selepas menjadi mangsa penipuan.
Hilmi, yang merantau dari Kelantan ke Bukit Mertajam untuk membina kehidupan baru bersama keluarga, berhadapan dengan kesulitan hidup yang luar biasa. Tujuh sekeluarga, termasuk lima anak kecil, terpaksa menumpang hidup di tepi jalan dengan keadaan yang serba kekurangan.
Baca juga: Bapa Penuntut UniSZA Nampak Mayat Atas Jalan, Tak Sangka Rupanya Anak Perempuan Sendiri
VIRAL 7 BERANAK TIDUR DALAM KERETA, KINI BAPA BANGKIT DENGAN GAJI RM5000

Kini, perubahan nyata menyinari kehidupan mereka. Perkembangan terkini dikongsi oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Steven Sim Chee Cheong, yang juga menjawat jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Lelaki yang setahun lalu saya temui sedang duduk beralaskan kain rentang buruk di tepi kereta usang bersama isteri dan lima anak kecil, hari ini berdiri di depan rumah sendiri dengan senyuman dan keyakinan.
“Dulu, kalau makan ayam, mereka kongsi dua ketul tujuh orang. Hari ini, masing-masing ada bahagian sendiri. Ada air teh dalam jag, ada peti ais di dapur. Isteri Hilmi, Yani, senyum berseri-seri sambil mendukung anak bongsu mereka. Ya, kini mereka sudah berlapan, bukan tujuh lagi, tapi lapan sekeluarga. Anak keenam lahir beberapa bulan lalu,” jelasnya.
Walaupun rumah itu tidak mewah, ia cukup selesa dengan sofa, meja makan, dan langsir, serta ruang yang membolehkan anak-anak berlari riang tanpa perlu tidur dalam kereta lagi.
Hilmi kini mempunyai pekerjaan tetap sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan melebihi RM5,000, cukup untuk menyara keluarga. Hari lawatan YB Steven, Hilmi mengambil cuti khas untuk menunjukkan hasil usaha mereka secara langsung.

Dalam perbualan, Hilmi berkongsi bahawa kereta usang mereka telah dijual dan digantikan dengan sebuah Proton Waja terpakai yang dibeli secara tunai.
“Saya tak nak anak-anak saya ulang hidup susah macam saya dulu,” katanya.
Kesungguhan Hilmi dan Yani bukan sahaja menonjolkan semangat bangkit, tetapi juga mengekalkan maruah mereka. Mereka tidak merungut atau meminta-minta, sebaliknya berusaha dengan gigih untuk memastikan anak-anak mereka hidup lebih baik.
Menurut YB Steven, kisah ini bukan sahaja tentang bantuan yang diberikan, tetapi tentang semangat keluarga itu sendiri. Kisah Hilmi dan keluarganya kini menjadi inspirasi, membuktikan bahawa dengan usaha, keberanian dan sokongan, hidup boleh berubah dari titik paling sukar ke arah yang lebih cerah.
Baca juga: Ini 5 Lapangan Terbang Paling Kecut Perut, Juruterbang Pun Tak Senang Duduk Bila Nak ‘Landing’!
Sumber: Facebook Steven Sim Chee Keong
