Semakan PKSK yang diumumkan baru-baru ini menyaksikan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan pelajar, termasuk rasa kecewa apabila permohonan ke sekolah khusus tidak berjaya. Situasi ini mendorong ramai ibu bapa mencari punca sebenar kegagalan, sekali gus menilai semula strategi pemilihan sekolah untuk masa depan anak-anak.
Menerusi satu perkongsian di laman TikTok milik Cikgu Haziq Azree, dia ada menjelaskan lima faktor utama yang sering menjadi penyebab permohonan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus tidak berjaya.
Baca juga: Politeknik Merlimau Melaka Di Tangga Ke-199 Dalam Ranking Dunia Universiti UI Greenmetric 2025
SEMAKAN PKSK RAMAI TAK BERJAYA, CIKGU DEDAH 5 PUNCA UTAMA

Antara faktornya adalah:
1. Markah PKSK tidak mencapai aras standard
Faktor utama kegagalan adalah markah peperiksaan PKSK tidak mencapai aras tolerasi atau standard minimum yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Walaupun pelajar memohon ke negeri atau sekolah yang berbeza, kegagalan tetap berlaku sekiranya markah tidak memenuhi syarat asas.
“Isunya bukan sekolah atau negeri yang dipohon, tetapi markah PKSK itu sendiri,” jelasnya.
2. Persaingan terlalu tinggi
Faktor kedua melibatkan pemilihan sekolah yang mempunyai jumlah pemohon terlalu ramai, khususnya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Sekolah-sekolah ini sentiasa mengekalkan standard kemasukan yang tinggi, menyebabkan peluang menjadi lebih kecil jika markah tidak benar-benar cemerlang.
3. Tidak lulus temu duga/ujian khas
Bagi program tertentu yang memerlukan temu duga atau ujian khas seperti sekolah vokasional dan sekolah menengah teknik, kegagalan boleh berlaku walaupun markah akademik melepasi syarat. Pelajar yang tidak menunjukkan prestasi baik dalam sesi temu duga atau ujian khas berisiko ditolak.

4. Pemilihan sekolah tidak seiring
Cikgu Haziq turut menegaskan bahawa ibu bapa sering melakukan kesilapan dengan memohon semua sekolah berstatus premier atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik, sedangkan tahap penguasaan akademik anak belum berada pada tahap tinggi.
Dia menyarankan agar ibu bapa membuat pilihan yang realistik berdasarkan tahap prestasi sebenar anak, seperti Tahap Penguasaan (TP) dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
5. Aras tolerasi berbeza mengikut sekolah
Setiap sekolah mempunyai aras tolerasi tersendiri, dan sekolah yang lebih popular lazimnya menerima jumlah permohonan yang tinggi. Oleh itu, bagi permohonan rayuan, ibu bapa disarankan agar memilih sekolah yang kurang menjadi tumpuan bagi meningkatkan peluang penerimaan.
Cikgu Haziq turut menasihatkan agar ibu bapa tidak terlalu emosional ketika membuat rayuan, sebaliknya memilih secara rasional demi kepentingan masa depan anak.
Dia berharap perkongsian ini dapat membantu ibu bapa memahami realiti sebenar proses pemilihan PKSK dan membuat keputusan yang lebih bijak serta bersesuaian dengan kemampuan anak masing-masing.
Baca juga: MRSM Kembalikan Exit Policy Tahun 2026, Pelajar Perlu Kekal Cemerlang Dalam Akademik
Sumber: TikTok Cikgu Haziq Azree
