Wanita ini dulunya bekas penghidap kanser, tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk menyerah pada takdir. Sebaliknya, menjadi pemangkin kekuatan buat Juliana Razid yang akhirnya dikurniakan seorang cahaya mata selepas hampir 11 tahun menanti dalam penuh kesabaran dan pengorbanan.
Juliana, 43 tahun, disahkan menghidap mucinous carcinoma, sejenis kanser payudara yang jarang berlaku dan hanya melibatkan satu hingga dua peratus kes, selepas mengesan ketulan pada payudara kanannya pada Disember 2016, ketika usianya baru mencecah 34 tahun.
BEKAS PENGHIDAP KANSER HAMIL SELEPAS 11 TAHUN PENANTIAN

Gambar: BERNAMA
Selepas sel kanser berjaya dibuang dan kesihatan membaik Juliana meneruskan rawatan kesuburan
“Sedangkan, ketika itu usia saya baru 34 tahun dan tiada sejarah keluarga yang menghidap kanser. Bila orang tanya kenapa saya kena, saya terima ini sebagai ujian yang Allah bagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Hari Bersama Media 2025 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini.
Tanpa berlengah, anak kelahiran Taiping, Perak itu yang juga penjawat awam dan ketika itu bertugas di luar negara, mengambil cuti sakit sebelum menjalani pembedahan di Institut Kanser Negara (IKN) pada Januari 2017.
“Oleh kerana saya bertindak pantas, doktor memaklumkan rawatan kemoterapi boleh tidak dilakukan kerana sel kanser sudah dibuang dan belum merebak, namun saya memilih untuk meneruskannya sebagai langkah berjaga-jaga dan menjalani enam kali kemoterapi hingga rawatan terakhir pada 7 Julai 2017,” katanya.
Dalam tempoh tersebut, Juliana dan suaminya, Fariq Azwar Salehuddin, 44, yang melalui perkahwinan jarak jauh, tidak pernah memadam harapan untuk memiliki zuriat. Selepas menamatkan rawatan, Juliana menjalani pemeriksaan susulan termasuk imbasan CT yang menunjukkan keadaan kesihatannya baik untuk meneruskan rawatan kesuburan.
“Risiko itu boleh berlaku pada awal, pertengahan atau hujung kehamilan. Kalau la berlaku, ketika itu barulah doktor pertimbangkan sama ada perlu utamakan rawatan atau kandungan. Selagi belum berlaku, kita tak boleh jangka, jadi saya cuma berdoa mudah-mudahan tak jadi,” katanya.
Pasangan itu kemudian menjalani empat kitaran rawatan IUI di Hospital Putrajaya sebelum dirujuk ke HCTM bagi rawatan IVF di bawah seliaan pakar reproduktif dan onkofertiliti, Prof Madya Dr Mohd Faizal Ahmad, bermula Mei 2020.
Baca juga: Trend Bersalin Czer Kian Meningkat, Pakar Dedah Ada Kesan Pada Imun & Perkembangan Anak
Percubaan IVF pertama disahkan hamil pada 2020, namun…

Gambar: BERNAMA
Percubaan IVF pertama pada Ogos 2020 membawa khabar gembira seketika apabila Juliana disahkan hamil, namun kehamilan tersebut tidak berkembang. Beberapa kitaran seterusnya terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan, malah pernah juga berlaku situasi folikel yang dikutip kosong tanpa kehadiran ovum.
“Saya menjalani pembedahan membuang polip sebanyak dua kali kerana ia boleh mengganggu penempelan embrio. Setiap kali rawatan gagal, memang timbul persoalan dalam diri, apa lagi yang tak cukup,” katanya yang turut mengambil inisiatif mendapatkan pandangan daripada beberapa pusat rawatan lain berkenaan masalah yang dihadapinya itu.
Selamat melahirkan anak pada Julai 2025, selepas melalui 7 kitaran IVF
Selepas melalui tujuh kitaran IVF, doa pasangan ini akhirnya dimakbulkan apabila Juliana disahkan hamil pada Disember 2024 dan selamat melahirkan seorang bayi perempuan, Emma Emily Fariq Azwar, pada 24 Julai 2025 ketika kandungan berusia 37 minggu lima hari melalui pembedahan elektif.
“The Magnificient 7, itu yang saya boleh katakan apabila berjaya kali ini. Alhamdulillah. Segalanya dengan izin Allah. Memang sangat tak disangka. Lebih-lebih lagi bila proses pengambilan telur untuk kitaran terakhir terpaksa dilanjutkan hingga hari ke-32, jauh lebih lama daripada kebiasaan iaitu pada hari ke-14 hingga hari ke-17 sahaja.
“Tidak pernah sekalipun kami berputus asa. Kami cakap dengan doktor, kami akan terus berjuang. Tapi kami juga sedar akan terpaksa berhenti berjuang sekiranya doktor kata rawatan itu sudah sampai ke tahap mudarat melebihi manfaat,” katanya.
Sepanjang tempoh kehamilan, Juliana memilih untuk merahsiakan khabar gembira itu daripada ramai pihak dan hanya berkongsi dengan lingkungan terdekat, selain mematuhi sepenuhnya pelan rawatan yang ditetapkan oleh doktor.
Mengakhiri perkongsian, pemegang Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menitipkan nasihat kepada pasangan yang masih berjuang mendapatkan zuriat agar tidak berlengah melakukan pemeriksaan kesihatan.
“Kalau rasa nak anak, selepas enam bulan berkahwin pun pasangan tersebut dah boleh buat pemeriksaan kesihatan. Jangan malu jumpa doktor dan jangan ambil nasihat yang bukan-bukan daripada mereka yang tidak bertauliah,” katanya.
Pada masa sama, Juliana menekankan segala rawatan dan ikhtiar hanyalah usaha manusia, manakala keputusan akhirnya tetap ketentuan Tuhan.
Baca juga: Tragis! Wanita Maut Selepas 6 Hari Bersalin, Gara-Gara Duduk Lama Di Salon Rambut
Sumber: BERNAMA
FT Image: BERNAMA
