Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menemui ajal selepas lemas apabila dihanyutkan arus deras ketika cuba membantu adik lelakinya yang jatuh parit besar di Kampung Permatang Tepung, Pahang.
Insiden menyayat hati itu berlaku sekitar jam 6.30 petang ketika mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah bersama adiknya yang berusia sembilan tahun serta sekumpulan rakan sekampung sedang menangkap ikan laga di kawasan berkenaan.
Baca juga: Suami Isteri Sehidup Semati Meninggal Dunia Hari Sama, Menyentuh Hati Warga Setempat..
ADIK JATUH PARIT, ABANG LEMAS KETIKA CUBA SELAMATKAN

Kredit: NSTP/ Mohd Rafi Mamat
Menurut rakan mangsa, Amirul Hakimi Mahyuddin, 12, dia sempat menyelamatkan adik mangsa, Muhammad Rayan Firrdaus, selepas kanak-kanak itu tergelincir ke dalam parit tersebut.
“Arwah terus terjun untuk menolong adiknya, tetapi arus yang sangat kuat menyebabkan dia dihanyutkan sehingga ke bahagian pembetung.
“Saya masih nampak tangannya seketika sebelum dia tenggelam. Air berpusing dengan laju. Kami semua sangat terkesan kerana arwah seorang yang baik dan mudah berkawan,” katanya.
Tambah Amirul, sebelum kejadian tragis itu, arwah dan adiknya sempat mengumpulkan kira-kira 30 ekor ikan laga untuk dipelihara sebagai hiasan.
Sementara itu, bapa mangsa, Abd Rahim Saidin, 40, berkata dia menerima makluman daripada jiran mengenai kejadian tersebut, yang berlaku tidak jauh dari kediamannya, sebelum bergegas ke lokasi.

Kredit: YouTube Harian Metro
“Ketika saya tiba, penduduk kampung sedang giat mencari arwah dalam parit yang dipenuhi arus deras. Mayatnya ditemui sekitar jam 7.15 malam selepas azan dilaungkan sebanyak dua kali,” ujarnya.
Dalam nada sebak, beliau turut meluahkan rasa kesal kerana tidak mengizinkan arwah memakai kasut sekolah baharu ketika majlis graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya.
“Beberapa kali arwah merayu untuk pakai kasut baharu berwarna hitam yang dibeli ibunya, namun dia akur selepas saya tidak membenarkannya kerana kasut baharu itu untuk digunakan pada penggal persekolahan akan datang,” luahnya.
Baca juga: Jadual Lengkap Tarikh Puasa Sunat Rejab 2025/2026, Jangan Lupa Baca Niat..
Sumber: Berita Harian
