Jodoh, ajal dan maut adalah rahsia ALLAH. Manusia hanya mampu merancang, namun apabila takdir mendahului segalanya, tiada siapa mampu menolaknya. Begitulah ujian berat yang terpaksa diterima oleh seorang wanita, apabila majlis perkahwinan yang dirancang rapi terpaksa dibatalkan selepas tunangnya meninggal dunia hanya lapan jam sebelum akad nikah.
Kisah pilu itu mengundang sebak ramai selepas luahan Nor Izzati, 32 tahun, menjadi tular di platform Threads.
TUNANG ‘PERGI’ DALAM TIDUR 8 JAM SEBELUM NIKAH, MAJLIS PERKAHWINAN TERPAKSA DIBATALKAN…

Foto: Threads
Dalam perkongsian Threads tersebut, Izzati memaklumkan kepada para jemputan bahawa majlis resepsi yang dijadualkan pada 25 Disember 2025 nanti tidak dapat diteruskan susulan pemergian insan tersayang.
Pasangan ini sepatutnya melangsungkan akad nikah pada Jumaat, 19 Disember di pejabat agama Islam di Kepala Batas, namun takdir Allah SWT memisahkan mereka sebelum lafaz ijab dan kabul disempurnakan.
Dalam catatan menyentuh hati itu, Nor Izzati berkongsi bahawa bakal suaminya, Mohamad Faiz Md Rozi, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2 pagi, ketika sedang tidur.
“Assalamualaikum kepada rakan-rakan yang mengenali saya dan yang menerima jemputan majlis perkahwinan saya pada 25/12/2025.
“Lapan jam sebelum akad nikah, bakal suami saya telah menghembuskan nafas terakhir. Arwah meninggal ketika tidur dan sudah sampai masa dia bertemu Maha Pencipta,” tulisnya.
Difahamkan, berita duka itu hanya diketahui Nor Izzati selepas dimaklumkan oleh kakak Allahyarham. Lebih meruntun perasaan, Nor Izzati mendedahkan bahawa mereka masih sempat berkomunikasi kira-kira tiga jam sebelum arwah pergi buat selamanya.
Malah, ketika itu beliau baru sahaja selesai menggosok pakaian, tanpa menyangka itulah perbualan terakhir bersama insan yang bakal bergelar suami. Menurut Nor Izzati, Allahyarham tidak mempunyai sebarang penyakit serius, cuma pernah mengadu sakit kepala sebelum ini.
Dalam nada penuh kesedihan, Nor Izzati turut memohon orang ramai menghadiahkan Al-Fatihah buat arwah yang bekerja sebagai juruteknik elektrik di sebuah kilang. Luahannya tentang keperibadian arwah benar-benar menyentuh hati warganet.
“Allahuakbar, arwah pernah kata dia mahu selepas orang ramai mendoakan. Ramai sangat yang doakan arwah. Yang tak pernah kenal pun mendoakan,” kongsinya.
Ke Mana Pergi, Pasti Cari Masjid

Foto: Threads
Nor Izzati turut berkongsi satu sisi peribadi Allahyarham yang meninggalkan kesan mendalam di hati mereka yang membaca. Katanya, arwah mempunyai kebiasaan singgah ke masjid setiap kali keluar.
“Hari itu kami keluar bersama anak buah saya, Firash. Firash teringat Pak Uda sebab Pak Uda selalu singgah masjid. Ke mana sahaja kami pergi, arwah pasti cari masjid. Arwah tinggalkan hanya yang baik-baik untuk dikenang,” tulisnya.
Paling meruntun perasaan ramai apabila Nor Izzati mendedahkan arwah pernah berjanji untuk bertemu pada jam 10 pagi. Namun pertemuan itu berlaku dalam keadaan yang langsung tidak terbayang.
“Dia tunaikan janjinya. Kami betul-betul jumpa jam 10 pagi… tapi di forensik. Jenazah arwah senyum. ALLAH makbulkan doa arwah dengan cara-Nya sendiri,” katanya.
Nor Izzati turut berkongsi bahawa arwah pernah menyatakan hasrat untuk tidak berkahwin kerana ingin menjaga ibunya sehingga akhir hayat. Doa itu akhirnya dimakbulkan Allah SWT dengan cara yang penuh hikmah.
Dalam kesedihan yang ditanggung, Nor Izzati tetap memilih untuk reda dan tabah. Baginya, arwah adalah insan terbaik yang pernah ALLAH hadirkan dalam hidupnya, walaupun hanya untuk seketika.
“Saya kuat sebab saya tahu saya orang yang dia sayang. Sayang sampai akhir nyawanya,” titipnya penuh ketenangan.
Luahan tersebut membuatkan ramai pembaca mengakui gagal menahan air mata. Ruang komen dibanjiri doa, kata-kata semangat dan ucapan takziah, selain peringatan bahawa hidup ini terlalu singkat untuk ditangguhkan kasih sayang dan kebaikan. Salam takziah dan Al-Fatihah.
Baca juga: 10 Kerabat Diraja Yang Kahwin Dengan Rakyat Biasa, Demi Cinta Lautan Api Sanggup Diredahi!
Sumber: Threads @tiyyy771
