Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) menjadi fokus baharu kerajaan dalam memperkasa pendidikan tahfiz, apabila inisiatif tersebut bakal dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan langkah ini bertujuan menjadi piawaian pendidikan, sekali gus mekanisme pengiktirafan kepada institusi dan huffaz di seluruh negara.
Baca juga: Guru Posting Di Kawasan Pedalaman Jangan Putus Asa, Cikgu Otai Kongsi Tip ‘Survive’ Di Sana
STANDARD PENGIKTIRAFAN TAHFIZ MALAYSIA DILAKSANA MULAI 2026

Gambar BERNAMA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (depan, kanan) bersama Penasihat Syariah untuk Malis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Maulana Wan Helmi Wan Mohamed menghadiri Himpunan Huftaz 2025 & Simfoni Dakwah Nusantara di Masiid Tuminah Holnidi, semalam.
10 institusi tahfiz cemerlang berdasarkan SPTM bakal terima insentif RM50,000
Ahmad Zahid menegaskan SPTM diperkenalkan bukan sekadar memenuhi keperluan pentadbiran tetapi menjadi pemangkin kecemerlangan.
Melalui pelaksanaan ini, 10 institusi tahfiz yang menunjukkan prestasi cemerlang berdasarkan indikator SPTM bakal menerima insentif bernilai RM50,000 setiap institusi.
“Ini bukan sekadar angka, bukan sekadar wang ringgit, tetapi ini satu suntikan motivasi agar institusi tahfiz terus mempertingkatkan kualiti dan juga amalan terbaik serta menjadi institusi cemerlang supaya kita ketengahkan sebagai model institusi tahfiz Malaysia, insya-Allah,” katanya.
Pelaksanaan ini diumumkan ketika merasmikan Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara bertemakan “Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani” di Masjid Tuminah Hamidi pada Ahad.
Program tersebut menarik penyertaan lebih 25,000 huffaz dan masyarakat umum, disertai barisan kepimpinan agama negara termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Perlaksanaan DPTN 1.0 telah menyelaraskan 84% dasar di tahfiz seluruh negara
Dalam konteks pembangunan ekosistem, kerajaan turut menekankan kesinambungan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sebagai landasan strategik.
Menurut Ahmad Zahid, pelaksanaan DPTN 1.0 sebelum ini telah menyelaraskan 84 peratus dasar merentasi institusi tahfiz seluruh negara. Ketika ini, terdapat 1,401 institusi tahfiz yang membabitkan 10,081 asatizah dan 61,494 pelajar, mencerminkan perkembangan pesat sebagai segmen pendidikan berstruktur.
Melangkah ke fasa DPTN 2.0
Melangkah ke fasa DPTN 2.0, beberapa instrumen utama diperkukuh termasuk pembangunan Model Pendidikan Tahfiz Malaysia (MPTM), pemantapan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 serta pelaksanaan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB).
“… dan juga melakukan pemantapan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 dengan pelaksanaan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB), juga menyediakan skim pembiayaan huffaz, serta usaha penyelarasan STM (Sijil Tahfiz Malaysia).
“Ini bagi melahirkan huffaz yang berdaya saing, berkemahiran, dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Keupayaan para huffaz di IPT negara

Gambar hiasan: BERNAMA
Keupayaan huffaz dalam pendidikan tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan di negara ini, turut menjadi sorotan.
“Saya ingin berkongsi dengan para hadirin sekalian. Di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Fakulti Aeroangkasa yang 90 peratus pelajarnya terdiri huffaz.
“Fakulti Kejuruteraan Marin pula sebanyak 93 peratus pelajarnya terdiri daripada mereka telah menjadi huffaz.
“Bukan sekadar itu, di UNITEN (Universiti Tenaga Nasional) terdapat 534 huffaz yang mengikuti kursus kejuruteraan, sama ada kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik atau kejuruteraan mekanikal.
“Keputusan peperiksaan pelajar-pelajar ini kebanyakannya memperoleh CGPA 3.5 dan ke atas. Ini merupakan satu pencapaian yang baik,” katanya.
Bagi memperkukuh kerjasama antara institusi, majlis turut menyaksikan pemeteraian 10 Memorandum Persefahaman strategik antara JAKIM dengan agensi agama negeri, institusi pendidikan tinggi serta institusi kemahiran.
Ia melibatkan Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap dan Program Pensijilan Hafazan Bertahap.
Majlis kemuncak turut diserikan ceramah pendakwah Nusantara, Ustaz Prof Dr Abdul Somad Batubara, menutup himpunan besar tersebut dengan fokus kepada penyatuan ummah dan masa depan generasi huffaz negara.
Baca juga: Kecoh Pelajar Universiti Balas E-mel Dengan Bahasa Kesat & Mencarut, Netizen Persoal Mana Adab?
Sumber: Berita Harian
FT Image: Sinar Harian
