Dividen ASB tahun 2025 adalah sebanyak 5.75 sen seunit bagi dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Perkara ini diumumkan sendiri oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Baca juga: Senarai Penuh Pengelola Jemaah Haji 2026 Yang Berdaftar, Jangan Tersalah Pilih Takut Duit Lesap!
DIVIDEN ASB TAHUN 2025 CECAH SEBANYAK 5.75 SEUNIT

Pengagihan tersebut melibatkan jumlah pembayaran keseluruhan RM10.4 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 11.4 juta pemegang unit ASB di seluruh negara.
Kadar agihan itu kekal sama seperti tahun sebelumnya, mencerminkan keupayaan ASB mengekalkan pulangan yang mampan. Prestasi berkenaan turut mengatasi penanda aras kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, yang merekodkan purata 2.29 peratus, dengan jurang daya saing sebanyak 346 mata asas.
Pencapaian ini diraih dalam suasana pasaran ekuiti domestik yang mencabar, apabila FBM KLCI mencatatkan pulangan harga sekitar -0.3 peratus setakat tahun 2025. Pasaran tempatan turut dipengaruhi oleh aliran keluar dana asing yang berterusan serta sikap pelabur yang lebih berhati-hati.
Namun begitu, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 dijangka berada dalam lingkungan 4.0 hingga 4.8 peratus.
Keadaan ini turut disokong oleh kemasukan pelaburan yang memberangsangkan serta pengukuhan nilai ringgit, yang meningkat 8.7 peratus kepada RM4.09 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata PNB telah memikul amanah mengurus simpanan rakyat selama lebih 46 tahun, dengan fokus utama melindungi hasil titik peluh pelabur.

“Setakat ini, jumlah terkumpul pengagihan pendapatan ASB telah mencecah RM206.7 bilion, sekali gus mencerminkan daya tahan serta kekuatan portfolio pelaburan ASB,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Raja Arshad berkata PNB turut memberi perhatian kepada isu kekurangan simpanan dalam kalangan rakyat serta keperluan untuk membudayakan tabiat menabung yang lebih konsisten.
Bagi tujuan pengiraan dan penutupan akaun tahunan, semua urus niaga ASB di cawangan serta ejen ASNB, termasuk saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Disember 2025.
Transaksi boleh disambung semula melalui semua platform dalam talian dan perbankan internet mulai 1 Januari 2026, manakala urus niaga di kaunter cawangan dan ejen ASNB akan beroperasi semula bermula 2 Januari 2026.
Baca juga: Susah Nak Cari Pasar Malam ‘Area’ Rumah? Guna Cara Ini Untuk Semak Lokasi & Hari Operasi
Sumber: Berita Harian
