Keinginan bawa durian tanpa bau menjadi satu kegusaran ramai orang, khususnya apabila perlu menempuh perjalanan jauh atau menaiki pengangkutan awam. Aroma durian yang kuat bukan sahaja memeningkan, malah boleh menjejaskan keselesaan orang lain jika tidak disimpan dengan cara yang betul.
Menariknya, beberapa pengguna media sosial tampil berkongsi petua praktikal yang terbukti berkesan, bergantung kepada jenis pengangkutan yang digunakan.
Baca juga: Bahan Dapur Yang Ada Tunas, Lendir Atau Kering Boleh Ke Dimasak? Baca Ini Dulu Sebelum Nak Buang!
TIP BAWA DURIAN DALAM PENGANGKUTAN TANPA BAU
Perkongsian ini meraih perhatian ramai kerana mudah dilakukan dan tidak memerlukan kos tinggi. Berikut ialah ringkasan tip bawa durian tanpa bau, disusun mengikut jenis pengangkutan:
1. Bawa durian dalam kereta

Bagi mereka yang sering membawa durian pulang menggunakan kenderaan sendiri, petua ini dianggap paling ringkas dan praktikal.
- Masukkan durian ke dalam kotak polisterin seperti bekas ais batu.
- Tutup rapat kotak tersebut dan seal sepenuhnya menggunakan selotip gam.
- Pastikan tiada ruang udara terbuka sebelum dimasukkan ke dalam kereta.
Menurut perkongsian tersebut, bau durian langsung tidak melekat walaupun selepas perjalanan jauh. Malah, keesokan harinya kereta masih bebas bau, berbeza jika durian dibiarkan tanpa bekas yang betul sehingga berbau selama beberapa hari.
2. Bawa durian naik kapal terbang atau ‘travel’

Untuk perjalanan lebih mencabar seperti menaiki kapal terbang atau travel ke luar negara, langkah keselamatan bau perlu dibuat dengan lebih teliti.
- Durian dimasukkan ke dalam bekas bertutup dan di-seal rapat dengan selotip.
- Letakkan daun pandan ke dalam bekas sebelum ditutup.
- Bekas yang telah di-seal dimasukkan pula ke dalam vacuum pack.
Hasilnya, durian dari Malaysia berjaya sampai ke luar negara tanpa sebarang bau bocor, sekali gus mengelakkan masalah dengan pihak penerbangan atau penumpang lain.
Baca juga: Ibu Kongsi Resipi Ayam Gunting Mudah Bawah RM30, Jadi Rebutan & Habis Licin Di Jamuan Sekolah Anak!
3. Bawa durian naik pengangkutan awam

Bagi mereka yang menggunakan MRT, LRT atau bas awam, langkah ini sesuai diamalkan agar tidak mengganggu penumpang lain.
- Masukkan durian ke dalam bekas bertutup ketat.
- Balut bekas tersebut dengan plastik kecil.
- Masukkan ke dalam plastik zip lock bersama daun pandan yang telah dibasuh dan digunting pendek.
- Akhir sekali, masukkan ke dalam beg bekal sebelum dibawa masuk ke pengangkutan awam.
Dengan kaedah ini, durian kekal tanpa bau dan selamat dibawa sehingga ke tempat kerja atau destinasi dituju.
Perkongsian ini membuktikan bahawa bau durian sebenarnya boleh dikawal jika menggunakan kaedah yang betul. Selain menjaga keselesaan diri sendiri, langkah ini juga mencerminkan sikap bertimbang rasa terhadap orang lain, terutamanya di ruang awam.
Sumber: TikTok @kaksabdubai , @kakmin19 / Nadzirah
FT Image: TikTok @kaksabdubai , @kakmin19 / Nadzirah
