Kisah Abdur Rahman Amir Ruddin kembali menyentuh hati warga maya apabila pemuda yatim piatu itu sah bergelar suami pada usia 21 tahun, sekali gus membuka lembaran baharu selepas melalui episod hidup yang penuh ujian dan kehilangan.
Detik bahagia itu dikongsikan sendiri oleh Abdur Rahman menerusi platform TikTok, mengundang ribuan ucapan tahniah dan doa daripada rakyat Malaysia.
ABDUR RAHMAN AMIR RUDDIN SAH BERGELAR SUAMI

Gambar Ihsan TikTok Abdur Rahman Amir Ruddin.
Abdur Rahman selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan hatinya, Wahidatul Imtiyazzah, dalam sebuah majlis pernikahan sederhana yang sarat dengan nilai kesyukuran. Menerusi perkongsiannya, dia meluahkan rasa insaf dan kesedaran mendalam terhadap amanah besar yang kini digalas sebagai seorang suami.
“Hari ini (Sabtu), aku menerima nikahmu, dan terasa seberat tanggungjawab yang Allah SWT titipkan di bahuku. Aku sedar, cinta bukan sekadar perasaan tetapi amanah yang harus dijaga dengan sabar, pengertian, dan ketulusan.
“Aku berjanji untuk menjadi temanmu ketika susah dan senang, menjadi pelindung hatimu ketika dunia terasa berat dan menjadi peneduh jiwa di setiap langkahmu.
“Semoga Allah SWT mempermudah setiap perjalanan kita, memberkati setiap doa dan usaha kita dan menjadikan rumah tangga kita sebagai tempat penuh rahmat, damai dan cinta yang terus tumbuh sepanjang hayat,” tulisnya.
Doanya agar rumah tangga yang dibina sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT menyentuh perasaan warga maya yang mengikuti perjalanan hidupnya sejak tragedi memilukan dua tahun lalu.
Baca juga: Tular Kartun Comel Ada Unsur ‘Double Meaning’, Siap Ajar Anak Rahsiakan Mak Buat Maksiat!
Ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah serta doa kebahagiaan. Rata-rata warga maya menzahirkan rasa syukur melihat Abdur Rahman akhirnya menemui sinar kebahagiaan selepas kehilangan besar yang pernah meruntun hati seluruh negara.
“Alhamdulillah… terima kasih Allah hadirkan sinar kebahagiaan buat Aman,” tulis seorang pengguna TikTok. Tidak kurang juga yang mendoakan agar perkahwinan pasangan itu berkekalan hingga ke Jannah dan dipermudahkan segala urusan kehidupan berumah tangga.

Gambar TikTok @rahilanoor85 merupakan ibu saudara Abdur Rahman iaitu Mak Ila.
Lebih menyentuh perasaan, ibu saudara Abdur Rahman yang dikenali sebagai Mak Ila turut menitipkan pesanan penuh makna.
“Mak Ila dan Pak Long hadir ke majlis pernikahan kamu Aman. Sekarang kamu sudah menjadi ketua keluarga dan menjadi imam untuk isteri sama macam (arwah) abi.
“Jadikan abi contoh terbaik sebagai seorang suami yang bertanggungjawab dan soleh. Sedih melepaskan tapi kena berdamai dengan takdir,” titip Nora Hila atau lebih dikenali sebagai Mak Ila.
Terdahulu, kisah Abdur Rahman pernah mengundang sebak seluruh negara apabila enam ahli keluarganya terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Segamat–Kuantan pada 1 September 2023.
Tragedi itu meragut nyawa kedua-dua ibu bapanya, Amir Ruddin Ismail dan Norahimah Noor Muhamad serta empat adik, Fatimatulzahrah, Seri Khadijah Aqilah, Rufaidatul Asyariyah dan Muhammad Assyakrawi.
Abdur Rahman yang tidak bersama keluarga ketika kejadian kerana urusan lain, dan adiknya Abdullah sebagai mangsa yang terselamat tetapi mengalami kecederaan parah.
Sejak tragedi itu, Abdur Rahman memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada usia yang sangat muda iaitu 17 tahun, satu peranan yang dipikul dengan penuh ketabahan.
Sumber: TikTok @rahilanoor85 / Harian Metro
FT Image: TikTok @rahilanoor85 / Harian Metro
