Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, dilaporkan meninggal dunia selepas ditemukan tersepit di dalam struktur istana belon yang telah dikempiskan dan dilipat di Kota Sungai Penuh, Jambi.
Mangsa segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun pihak perubatan mengesahkan bahawa nyawanya tidak dapat diselamatkan.
Baca juga: Ayam Gepuk & Matcha, Makanan Viral 2025 Semuanya Tinggi Kalori & Gula! Jangan Sesekali Terjebak
TERPERANGKAP DALAM ISTANA BELON, BUDAK 5 TAHUN MAUT
Kejadian menyedihkan itu berlaku di tapak permainan istana belon yang terletak di Lapangan Merdeka, Desa Pondok Tinggi, pada malam Ahad.
Pada mulanya, kanak-kanak yang dikenali sebagai GL dilihat bermain di sekitar kawasan berkenaan. Namun, selepas tempoh yang lama tanpa kelibatnya, si ibu, Putri Ningsih, mula bimbang dan berusaha mencari di sekitar lokasi.
Menurut Ningsih, dia pada awalnya melihat anak lelakinya masih berada di sekitar kawasan permainan, namun setelah kira-kira setengah jam dan keadaan tapak semakin sunyi, anaknya langsung tidak kelihatan.
“Semasa mencari, saya tanya neneknya dan dia kata GL ada di istana belon. Saya terus ke situ, tetapi kawasan sudah kosong. Saya tanya pemilik belon, namun dia kata tiada sesiapa di dalam,” jelasnya.
Ningsih kemudian menyambung pencarian di sekitar lapangan, bangunan berdekatan, bahkan sempat memeriksa di rumah. Namun, anaknya tetap tidak ditemui.

Sekadar gambar hiasan
“Apabila saya kembali ke lapangan, pemilik belon sedang membuka struktur yang telah dikempiskan. Saya bertanya sekali lagi sama ada anak saya berada di dalam dan ketika itu baru disedari ada tubuh kecil di situ,” katanya.
Sebaik sahaja istana belon itu dibuka sepenuhnya, GL ditemukan dalam keadaan meniarap dan tidak sedarkan diri. Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital dan beberapa kali diberikan bantuan oksigen, namun gagal dirawat.
“Badannya menjadi panas dan saya meminta pihak perubatan untuk cuba sekali lagi. Tetapi doktor memaklumkan bahawa anak saya sudah tiada. Hancur hati kami menerima berita itu. Anak saya pergi begitu sahaja,” luahnya dalam keadaan sebak.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Kerinci, AKP Veri Prastiawan, mengesahkan kejadian tersebut.
“Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital DKT untuk rawatan segera, namun disahkan meninggal dunia. Kes ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Baca juga: Nama Graduan UiTM, Aminasufi Aininnaim Manisalamuhibahati Aminjaya Jadi Tumpuan
Sumber: Kumparan
