Dalam setiap langkah persediaan haji, bukan sahaja pakaian dan bagasi yang perlu disusun rapi, tetapi juga urusan taharah dan tandas di Masyair perlu dirancang dengan teliti.
Justeru itu, artikel haji pada kali ini berkenaan perkongsian Yusniza Yusof memberi panduan praktikal agar bakal jemaah menghadapi cabaran tandas dan taharah dengan tenang, hati fokus pada Allah dan ibadah berjalan lancar.
Baca juga: Larangan Mainkan Audio Zikir & Selawat Semasa Bersenam, Tapi Boleh Buka Muzik Islamik Jenis INI
PERSEDIAAN HAJI UNTUK TANDAS & TAHARAH JEMAAH DI TANAH SUCI

Gambar Yusniza Yusof: Khemah di Mina 2023, tahun lepas dah start tak ade tilam tapi carpet selesa.
“Ini berdasarkan pengamatan Haji tahun 2023/1444H kami, bukan yang terbaik, jika ada yang bermanfaat ambillah, jika tidak, abaikan.
“Tandas di Arafah, Muzdalifah dan Mina berbeza-beza. Muzdalifah tak apa sebab kita mabit dalam 4-6 jam sahaja. Di Mina paling lama 4 hari dan di Arafah 2 hari.
“Tandas sangat terhad terutama di Arafah. Kebanyakannya tandas cangkung dan ada 2 sahaja yang duduk. Air pula kadang-kadang rezeki laju, kadang perlahan dan ujian kami haji 2023 kes paip pecah dan tak ada air di Mina.
“Dari pengalaman Duo Hajah, tandas Mina sebelah-sebelah dengan lelaki, pastikan jaga aurat jangan sampai ternampak,” kongsi Yusniza Yusof.
10 Tips Survival Tandas & Taharah Di Masyair
Berikut merupakan tip tandas dan taharah sepanjang berada di Tanah Suci yang dikongsikan Yusniza Yusof untuk makluman pembaca:
1. Sabar itu segala-galanya
Semua adalah tetamu Allah. Kita menumpang, bukan tuan punya. Tenang, hormat barisan, hormat ruang.
2 Standby ‘S’ hook
Bawa S Hook untuk sangkut tuala dan toiletries. Tip pro: bawa 8-10, boleh tolong kawan-kawan juga!
3. Jangan mandi waktu ‘peak hour’
Elakkan mandi 1 jam sebelum solat. Sekadar basahkan badan, cukup… janji hilang debu Masyair.
4. Beg mandi yang kalis air
Plastik biasa boleh, tapi confirm basah. Cadangan mesra jemaah: beg kecil Beg IKEA Kecil atau beg yang waterproof sikit.
5. Jika period, jaga pelupusan tuala wanita
Basuh dulu, balut dalam plastik kecil khas, baru buang. Bawa juga pakaian dalam jenis pakai buang.
6. Bezakan stokin untuk tandas & solat
Ini penting untuk taharah! Pilih warna khas untuk stokin tandas dan warna lain untuk solat, jangan tertukar masa nak sujud.
7. Labelkan di pintu tandas untuk mandi atau buang air
Jangan potong barisan dan berebut. Kalau tak tahan sangat, boleh saja minta dengan baik nak masuk dulu. Dulu kami bahagikan tandas untuk mandi dan untuk buang air kecil. Tampal di pintu ‘Buang Air sahaja’ atau ‘Mandi’.
8. Jangan basuh baju di Masyair
Kalau sangat perlu, buat di waktu orang semua keluar melontar (biasanya 10.30 AM – 12.30 PM kurang sesak).
9. Bawa topi waktu beratur
Cuaca panas tak pandang umur. Bawa topi ringan untuk lindungi diri ketika menunggu.
10. Standby pampers sarung untuk kecemasan
Bukan untuk biasakan diri, tapi demi situasi kecemasan. Kalau bukan untuk kita, mungkin bermanfaat untuk jemaah lain.

Gambar Yusniza Yusof: Tandas di Muzdalifah (gambar Google).
Peringatan dari hati ke hati
Haji bukan sekadar perjalanan jauh… tapi perjalanan redha dalam setiap langkah. Dugaan taharah dan tandas mungkin kecil pada mata, tapi besar pada sabar.
Apa pun, bersangka baik dan doa itu senjata paling ringan untuk dibawa, tapi paling berat impaknya pada hati. Semoga semua bakal haji dipermudahkan. Ambil yang bermanfaat, simpan di dada dan praktikkan bila masa tiba nanti.
Penulis telah meminta keizinan untuk menerbitkan kandungan perkongsian ini semula daripada puan empunya cerita. Semoga memberi manfaat kepada semua.
Baca juga: Doktor Kongsi Senarai 16 Penyakit Yang Disarankan Solat Atas Kerusi, Walau Sakit Ibadah Tetap Jalan!
Sumber: Yusniza Yusof (Jejak Haji Duo Hajah)
FT Image: Abe Ady
