Kemas rumah selepas banjir bukanlah tugas biasa kerana ia ibarat misi reset keseluruhan ruang kediaman yang pernah ditenggelami air dan lumpur. Selain memenatkan, ia boleh mendedahkan kita kepada risiko kecederaan dan jangkitan kulat jika tak dibuat dengan langkah yang betul.
Jadi, ini antara tips terbaik yang dikongsikan Orked Zalea, yang anda pun boleh ikuti step-by-step di rumah anda sendiri!
9 TIP KEMAS RUMAH SELEPAS BANJIR

Gambar hiasan Muhamad Nazreen Syah Musthafa (Kosmo): Salah satu keluarga mangsa banjir di Felda Trolak Selatan memindahkan pakaian selepas rumah mereka dinaiki banjir lumpur pada tahun 2022.
1. Masuk rumah dengan berhati-hati
“Masuk rumah dengan berhati-hati dan kalau lantai masih licin, jangan buat aksi slide to the left, slide to the right… itu bukan TikTok trend, itu bahaya,” tulis Orked Zalea.
Hal ini kerana, lantai licin selepas banjir berisiko menyebabkan tergelincir, jadi pastikan anda pakai sandal getah atau kasut yang mencengkam permukaan.
2. Rumah pun perlu ‘fresh air’ untuk pulih
Buka pintu dan tingkap untuk bagi angin masuk kerana rumah juga memerlukan healing selepas ‘trauma’ banjir.
Rumah yang lembap tanpa pengudaraan mudah jadi ‘spa semula jadi’ untuk kulat membiak, jadi langkah ini bukan sekadar menyejukkan, tapi penting untuk kesihatan ruang dalam rumah juga.
3. Tolak lumpur keluar dulu, baru ‘deep clean’
Gunakan penyodok, mop atau tuala buruk untuk menolak keluar lumpur dan selut. Mulakan dari ruang paling belakang dan tolak keluar ke pintu utama.
Langkah ini untuk mengelakkan lumpur tersebar lebih jauh ke seluruh rumah.
4. Asing barang mengikut kategori
Pentingnya mengasingkan barang dengan mengikut kategori agar anda tidak pening kepala nanti.
Buang tanpa fikir panjang:
- Tilam
- Karpet
- Mainan lembut anak
Barang fabrik mudah menyerap air banjir yang tercemar dan sukar dinyah kuman sepenuhnya walaupun dibasuh.
Boleh selamatkan:
- Pinggan mangkuk
- Perabot kayu
Barang keras dan perabot kayu masih boleh dibersihkan dan dikeringkan, asalkan tak rosak teruk dan segera dikeringkan.

Gambar hiasan: Freepik
5. Masa menyental, gunakan ‘skuad pewangi & nyah bau’
Gunakan sabun, air panas, cuka atau apa saja yang bantu kembalikan bau segar rumah anda. Air panas juga membantu menanggalkan kotoran degil dengan lebih mudah.
6. Basmi kulat dengan semburan cuka 1:1
Campurkan air bersih : cuka pada kadar yang sama di dalam botol penyembur, sembur pada kawasan yang mula nampak kulat dan biarkan 10–15 minit sebelum dilap.
7. Keringkan semua barang
Buka tingkap, hidupkan kipas dan jemur semua barang yang boleh di bawah matahari. Pastikan setiap sudut benar-benar kering untuk elakkan lembap berpanjangan.
8. Ambil gambar bukti untuk tuntutan insurans
Ini langkah yang ramai buat akhir sekali, padahal ia antara yang paling penting. Pastikan anda ambil gambar bahagian kerosakan rumah dan barang sebelum ia dibuang.
9. Rehat dan minum air
Jangan lupa jaga diri sendiri juga. Dehidrasi atau keletihan semasa ‘operasi pembersihan’ pun boleh memudaratkan kerana mengemas rumah selepas banjir bukan workout yang biasa-biasa.
Semoga perkongsian Orked Zalea ini membantu anda kemas rumah dengan lebih selamat dan kurang stres. Ingat, dalam situasi ini, tak perlu laju dan tak perlu sempurna.
Paling penting rumah kembali selamat, bersih dan sihat untuk kita semua.
Sumber: Orked Zalea
FT Image: Freepik
