“Jangan baring ketika azan, nanti mayat kita berat!”
Ayat ini memang biasa kita dengar bukan? Kadang-kadang bukan orang dewasa sahaja yang menuturkannya, malah kanak-kanak pun petah menegur rakan supaya tidak baring bila azan sedang berkumandang. Tapi… apakah betul ada larangan dalam Islam untuk kita tidak berbaring ketika azan atau ini sekadar kepercayaan turun-temurun?
Baca juga: Wanita, Hati-Hati! Ramai Anggap Remeh, Tapi Inilah 5 Dosa Harian Yang Paling Berat Di Sisi Allah
BETUL KE KALAU BARING KETIKA AZAN BERKUMANDANG AKAN JADI PUNCA MAYAT BERAT?

Foto: freepik
Pertama sekali yang anda kena faham, azan adalah syiar penting dalam Islam. Laungan ini bukan sekadar panggilan solat, tetapi mengingatkan kita tentang:
- Allah SWT Yang Maha Esa
- Seruan untuk menunaikan solat
- Arah kepada kejayaan dunia dan akhirat
Setiap kali azan berkumandang, ini menjadi tanda waktu solat telah masuk dan mengajak kita untuk segera bersedia menghadap Allah SWT.
Hadis Larangan Baring Semasa Azan: Sahih Atau Tidak?

Foto: freepik
Ada sebuah hadis yang sering dikaitkan dengan larangan berbaring ketika azan. Tetapi menurut ulama hadis, riwayat itu adalah palsu. Sheikh Ali Al-Halabi menjelaskan bahawa semua hadis yang mengatakan “mayat menjadi berat jika berbaring ketika azan” adalah palsu, kerana terdapat perawi yang didapati sebagai pendusta oleh para ulama.
Jadi jelas, tiada satu pun hadis sahih yang menyatakan hukuman atau kesan buruk jika seseorang berbaring semasa azan. Meskipun tiada larangan, kita sangat digalakkan untuk menjawab azan.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Jika kalian mendengar seruan azan, maka katakanlah seperti mana yang dikatakan oleh tukang azan.”– (Riwayat al-Bukhari)
Maknanya, bila azan berkumandang, sebaiknya kita berhenti seketika dan jawab azan dengan penuh adab. Bukan itu sahaja, kalau dengar azan dan terus bersiap ke masjid atau surau pun besar kelebihannya. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju mana-mana rumah Allah untuk menunaikan solat fardu, satu langkahnya menghapuskan dosa dan langkah satu lagi mengangkat darjatnya.”– (Riwayat Muslim)
Isu ini juga pernah ditanya kepada Ustaz Azhar Idrus. Jawapan beliau:
Hukum berbaring ketika azan adalah HARUS. Yang haram ialah jika baring itu menyebabkan kita terlepas waktu solat, contohnya sambung baring sampai tertidur dan terus tak bangun. Jadi jelas, hukum asalnya tidak salah, selagi tidak melalaikan solat.
Kesimpulannya, bukan soal ‘berat mayat’ yang ingin ditegaskan tetapi ini soal menyambut seruan Illahi. Walaupun tiada larangan atau ancaman mayat menjadi berat, namun sebagai hamba-Nya, kita sebaiknya:
- Menjawab azan
- Berhenti seketika daripada kerja
- Bersedia untuk solat
Kita diciptakan oleh Allah, dan kepada-Nya juga kita kembali. Maka apa salahnya kita menyahut panggilan-Nya dengan segera?
Baca juga: Nak Bergambar Dengan Patung Agama Lain Di Tempat Bersejarah Semasa Melancong? Ini Hukumnya
Sumber: YouTube @UstazAzharIdrusOfficial, Mufti Wilayah Persekutuan
