Setiap kali musim konvokesyen tiba atau hari lahir, suasana pasti meriah dengan jambangan bunga, coklat, dan yang paling popular adalah anak patung pelbagai saiz.
Ramai menganggap ini adalah simbol penghargaan dan tanda ucapan tahniah kepada orang yang diraikan atau para graduan yang berjaya menamatkan pelajaran.
Baca juga: Ustazah Asma’ Kongsi Doa Rantaian Asmaul Husna Untuk Anak Cemerlang SPM & UPKK, Lengkap & Ringkas!
JANGAN NORMALISASIKAN BERI ANAK PATUNG KEPADA ORANG DEWASA – PU SALMAN

Foto: freepik
Namun, dalam kemeriahan pemberian hadiah itu, pendakwah bebas PU Salman tampil mengingatkan orang ramai supaya tidak menormalisasikan pemberian patung seperti ‘teddy bear’ sebagai hadiah kepada orang dewasa.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, PU Salman atau nama sebenarnya Salman Maskuri, berkata beliau sering melihat anak patung menjadi hadiah utama setiap kali musim graduasi tidak kira di peringkat sijil, diploma mahupun ijazah. Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana patung yang mempunyai bentuk lengkap kepala dan tubuh dihukumkan haram.
“Ini dosa besar. Teddy bear, patung kecil, patung besar, selagi ada kepala dan badan, ulama sepakat mengatakan hukumnya haram. Paling dahsyat azabnya nanti adalah kepada orang yang membuat patung,” tegasnya.
PU Salman menjelaskan bahawa isu gambar mempunyai khilaf ulama, namun patung tidak mempunyai khilaf dalam hukum. Beliau turut menegaskan:
- Patung hanya diharuskan untuk kanak-kanak, sebagaimana diriwayatkan dalam hadis tentang Saidatina Aisyah RA.
- Orang dewasa tidak boleh menerima, menyimpan, atau menghadiahkan patung.
- Patung tidak boleh dijadikan hiasan rumah, tidak kira saiz atau bentuk.
“Yang dah besar ni, haram menerima hadiah patung. Memberi hadiah patung pun tak boleh kecuali untuk budak-budak. Malaikat rahmat tidak masuk rumah jika ada patung,” jelasnya.
“Bunga tak apa, coklat pun tak apa. Tapi patung untuk orang dewasa tak boleh. Bila Allah haramkan sesuatu, jual beli dan wang hasil daripadanya juga diharamkan,” jelasnya lagi.
Pandangan Mufti Wilayah: Patung permainan kanak-kanak adalah harus

Foto hiasan AI.
Penjelasan PU Salman selari dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, yang menyatakan:
- Haram mengukir atau mencipta patung menyerupai makhluk bernyawa dengan tujuan dimuliakan.
- Harus jika patung digunakan sebagai alat permainan atau pembelajaran kanak-kanak.
Hadis daripada Aisyah RA turut menyebut bahawa beliau bermain patung ketika bersama Rasulullah SAW, dan perkara itu dibenarkan untuk kanak-kanak. Menurut penjelasan Mufti, patung kanak-kanak biasanya rosak atau ‘dipatah-patahkan’ ketika bermain. Ini menunjukkan bahawa:
- Ia bukan objek untuk dihormati.
- Ia hanya alat permainan, jauh sekali untuk dianggap sebagai sesuatu yang disanjung.
Menambah kepada perbincangan, Ustaz Azhar Idrus turut menegaskan bahawa patung seperti robot, gundam atau figura hanya boleh dibeli jika untuk anak-anak. Benda ini tidak boleh diletakkan sebagai hiasan di rumah, di rak, atau digantung di dinding.
Kesimpulannya, jika ingin meraikan graduan atau hari lahir, pilihlah hadiah yang bukan sahaja bermakna tetapi juga selari dengan garis panduan agama ya!
@pusalman Jangan normalisasikan bagi hadiah ini kpd dewasa @Jawahir Travel & Tours ( JTT ) #dosa #hadiah #fyppppppppppppppppppppppp ♬ bunyi asal – PU Salman
Baca juga: ‘Senyuman Menyeramkan’ Dalam Masjid, Pesakit Skizofrenia Tunjuk POV Bagaimana Halusinasi Berlaku
