Bertugas di kawasan pedalaman memang mencabar, terutama buat guru baharu yang pertama kali ditempatkan. Muhammad Saffuan berkongsi pengalaman beliau di Sarawak melalui Facebook dan perkongsian ini sangat berguna untuk sesiapa yang bakal berkhidmat di pedalaman atau luar bandar.
Dari awal sampai akhir, pengalaman ini bukan sekadar teori, tetapi praktik hidup sebenar yang mengajar kita banyak perkara.
TIP GURU BAHARU POSTING DI KAWASAN PEDALAMAN SARAWAK

Gambar Muhammad Saffuan: Mahik parai, proses mengeluarkan padi daripada tangkai. Nampak saja orang kampung tengah buat, saya minta izin untuk bantu.
Berikut adalah tip Cikgu Saffuan untuk survive di pedalaman:
1. Jumpa orang penting
Ketua kampung, tuai rumah, penghulu, ketua masyarakat, pastor di gereja, imam masjid, YDP PIBG, guru besar atau guru bersara. Mereka ini antara orang pertama yang kita kena kenal. Dioranglah yang akan tolong kalau kita sesat, takda air, atau nak tumpang bot ke pekan.
Selain guru besar, mereka yang saya sebutkan ini juga ada pengaruh besar terhadap sekolah dan komuniti, jangan pandang ringan. Kadang satu senyuman ikhlas kita pada mereka, boleh mudahkan banyak urusan.
2. Belajar bahasa tempatan
Tak perlu fasih, cukup tahu perkataan asas. Kadang salah sebut itu biasa nanti orang kampung akan betulkan sambil ketawa, bukan marah pun.
Orang sana akan suka bila kita cuba faham budaya mereka, sebab itu tandanya kita hormat.
- Nama barita?
- Nun Dengah?
- Uh kuman duuu?
3. “Masuk” dengan cara kampung
Kalau orang kampung ajak tangkap ikan, pergilah. Kalau ada orang menganyam tikar, duduk sekali tengok. Dari situ kita belajar banyak benda, bukan setakat budaya, tapi nilai hidup yang tak semua orang pernah rasa.
Saya pernah pergi menjala ikan punyalah teruja sebab banyak ikan, saya terus terjun dalam sungai. Dah air sampai paras dada baru teringat, ada iPhone saya dalam poket. Simpan dalam tong beras pun dah tak guna.
4. Jaga hubungan dengan komuniti
Kalau orang bagi ikan, terima. Kalau ada kenduri atau gotong-royong, pergi. Dekat tempat macam ni, hubungan dengan orang sekeliling sangat penting. Kita di perantauan tak boleh hidup sorang-sorang.
Ingat, cikgu tak boleh jadi “kera sumbang”.
Baca juga: Kecoh Pelajar Universiti Balas E-mel Dengan Bahasa Kesat & Mencarut, Netizen Persoal Mana Adab?

Gambar Muhammad Saffuan: Rumah Panjang Long Jegan
5. Hormat budaya dan kepercayaan
Kalau kita berada di kawasan majoriti yang tak sama seperti kita, kena ingat, mereka ada pegangan agama dan pantang larang yang tersendiri.
Hormatlah cara hidup mereka. Jangan keluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Biar berbeza, tapi jangan biadab.
6. Sediakan barang keperluan
Jangan tunggu stok habis baru nak beli. Kadang bot tak boleh jalan sebab air surut, kadang hujan tak berhenti tiga hari.
Simpan stok makanan, ubat dan barang keperluan asas siap-siap. Sediakan payung sebelum hujan, literally.
Dulu stok makanan kami hanya tinggal telur sebiji saja, itu pun kawan buat sup makan kami 3 orang. Pernah simpan makanan di freezer rumah guru besar, sebab kami belum ada freezer sendiri.
Hari-hari pergi ambil makanan sampai licin freezer di rumah guru besar kami, rupanya kami siap “bedal” makanan dalam freezer yang guru besar punya.
7. Belajar tenangkan diri
Kadang sunyi, kadang rindu keluarga. Tapi bila tengok muka anak murid datang senyum pagi-pagi, rasa semua penat hilang. Jangan hidup bersendirian, bina hubungan. Anggap mereka seperti anak sendiri, sebahagian dari kita.
Di sekolah saya ada keluarga kecil. Alhamdulillah, di Sarawak saya jumpa “keluarga baru” yang mereka yang anggap saya macam anak sendiri. Sangat terharu.
Bonus!
Kalau generator rosak, jangan gatal tangan nak betulkan. Jangan tunjuk pandai. Silap-silap blackout satu sekolah, nanti semua orang tahu siapa “punca utama”. Saya pernah pasang lampu sampai blackout satu sekolah. Lepas itu, kena “bahan” sampai seminggu!
Dulu saya datang dengan rasa takut. Tapi sekarang, saya bawa balik kenangan yang saya takkan pernah lupa. Sarawak bukan tempat saya diuji, tapi tempat saya dibentuk jadi manusia sebenar.
Sumber: Muhammad Saffuan
FT Image: Muhammad Saffuan
