Di saat ramai pelajar sibuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan akhir tahun, kisah seorang bapa yang juga calon persendirian SPM ini benar-benar menyentuh hati.
Demi memberi sokongan penuh kepada anak lelaki bongsunya yang sedang menduduki SPM, seorang ayah berusia 57 tahun sanggup mengambil langkah luar biasa iaitu dengan mendaftarkan diri sebagai calon peperiksaan sekali gus berkongsi perjalanan akademik bersama anaknya.
BAPA JADI CALON PERSENDIRIAN SPM DEMI ANAK BONGSU

Gambar Lim Siong Fui (kiri) bersama anak bongsunya Lim Yi Hen dan isteri tercinta.
Lim Siong Fui, 57, seorang guru di SMK Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan, membuat keputusan luar biasa pada April lalu. Di mana, beliau mendaftar sebagai calon persendirian bagi dua subjek iaitu Matematik dan Matematik Tambahan.
Tujuannya hanya satu iaitu ingin meniupkan semangat buat anaknya, Lim Yi Hen, 17, yang merupakan pelajar aliran Sains.
Setiap hari, mereka berdua akan meluangkan masa mengulang kaji, menyelesaikan soalan dan bertukar pandangan seperti rakan sepasukan yang saling memberi sokongan.
“Selepas hampir 40 tahun, saya menyahut cabaran untuk menduduki semula peperiksaan SPM bagi dua subjek itu. Selain memberi semangat kepada anak, kami juga dapat ‘bersaing’ secara sihat.
“Dengan menduduki peperiksaan penting ini bersama-sama, saya bukan sahaja dapat menemani dia mengulang kaji pelajaran malah turut membantu mencari penyelesaian soalan. Matlamat kami sama, mahu memperoleh keputusan cemerlang,” katanya kepada Bernama.
Imbau kenangan SPM 1986, kini kembali dengan misi baharu
Siong Fui pernah menduduki SPM pada tahun 1986 dan memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A1 bagi Matematik dan A2 bagi Matematik Tambahan. Namun kali ini, misinya lebih besar, beliau mahu mencapai keputusan terbaik bersama anaknya.
Beliau akan menduduki peperiksaan Matematik di SMK Gemas pada Isnin depan, diikuti Matematik Tambahan pada 15 Disember.
“Anak saya beritahu cita-citanya dalam bidang sains komputer. Kami sekeluarga tidak mengehadkan minatnya… saya dan isteri sentiasa memberikan sokongan penuh,” katanya sambil menekankan disiplin sebagai asas kejayaan.
Anaknya, Yi Hen, turut menunjukkan bakat dan minat mendalam dalam kedua-dua subjek tersebut, menjadikan perjalanan mereka sebagai duo ayah-anak lebih bermakna.
Siong Fui seorang daripada 2 calon persendirian SPM berusia emas yang mendaftar tahun ini di Negeri Sembilan
Perjuangan inspirasi ini bukanlah kes terpencil. Menurut Pengarah Pendidikan Negeri, Khalidah Omar, seramai 1,164 calon persendirian mendaftar untuk SPM di Negeri Sembilan tahun ini dengan peningkatan 30.9% berbanding tahun sebelumnya.
Menariknya, Siong Fui merupakan seorang daripada dua calon persendirian berusia emas, selain seorang lagi calon berusia 60 tahun yang mengambil enam subjek pada SPM kali ini.
Secara keseluruhan, 17,354 calon menduduki SPM di 145 pusat peperiksaan, termasuk 14 pusat di hospital.
Kisah ini mengingatkan kita bahawa usia bukan penghalang untuk terus belajar. Lebih daripada itu, ia menggambarkan pengorbanan seorang ayah yang sanggup melakukan apa sahaja demi memberi sokongan kepada anaknya.
Bukan dengan kata-kata, tetapi melalui tindakan.
Semoga usaha Siong Fui dan Yi Hen menjadi inspirasi kepada semua pelajar dan ibu bapa di luar sana. Perjalanan menuju kejayaan lebih indah apabila ditempuh bersama.
Baca juga: Bayi Baru 30 Hari Ikut Pergi Konvo, Raikan Kejayaan Ibunya Rangkul 2 Anugerah Tertinggi UniSZA!
Sumber: BERNAMA
FT Image: Lim Siong Fui
