Keterujaan rakyat Malaysia kembali memuncak apabila negara menyambut ketibaan sepasang panda gergasi baharu dari Republik Rakyat China (RRC). Dinamakan Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina), kedua-duanya tiba dengan selamat di KLIA pada jam 8:30 malam semalam (Selasa), menandakan satu lagi lembaran baharu dalam hubungan erat Malaysia–China.
Ketibaan ‘tetamu istimewa’ yang comel ini bukan sekadar tarikan baharu buat rakyat, tetapi juga simbol integriti, kepercayaan dan persahabatan berpanjangan antara Malaysia dan RRC.
Baca juga: KakakNorway Berkongsi 11 Makanan Halal & Popular Di Norway, Kalau Bercuti Di Sana Memang Wajib Cuba!
PASANGAN PANDA GERGASI BAHARU SELAMAT TIBA KE MALAYSIA!

Gambar NRES.
Melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES), Malaysia meneruskan kerjasama konservasi Giant Panda setelah memeterai perjanjian baharu pada 16 April 2025, bersempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia.
Perjanjian tersebut membolehkan Malaysia menerima sepasang Panda Gergasi yang lebih muda untuk tempoh 10 tahun, bermula 2025 hingga 2035.
Sebaik tiba, Chen Xing dan Xiao Yue terus dibawa ke Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara yang telah dinaik taraf sepenuhnya. Kemudahan ini direka supaya kedua-duanya menikmati persekitaran yang selamat, sejuk, selesa dan menyerupai habitat asal mereka.
Menurut kenyataan, kedua-dua panda ini akan melalui tempoh kuarantin selama satu bulan.
Sepanjang tempoh tersebut, mereka akan berada di bawah pemantauan rapi doktor haiwan serta penjaga berpengalaman bagi memastikan kesihatan mereka berada pada tahap terbaik sebelum tampil bertemu orang ramai.
Rakyat Malaysia bakal berpeluang melihat pasangan ini tak lama lagi!

Gambar NRES.
Walaupun peminat panda perlu menunggu sedikit waktu, kemunculan pertama pasangan ini di hadapan pengunjung pasti menjadi detik yang dinanti-nantikan.
Dengan pengalaman Malaysia menjaga panda sejak bertahun-tahun, kehadiran Chen Xing dan Xiao Yue sudah tentu menambah ‘keluarga baharu’ yang akan menjadi tarikan utama di Zoo Negara.
Di mana, menerusi kerjasama serupa sebelum ini, Malaysia telah menerima pasangan panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi pada 2012 sebelum haiwan itu dihantar pulang ke China pada 18 Mei 2025.
Baca juga: Langkawi Diiktiraf Pulau Ke-2 Terbaik Di Dunia, Permata Berharga Di Rantau Asia Tenggara!
Sumber: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES)
FT Image: NRES / gokitetours
