Runtuhan baharu berlaku di Kilometer 11.95 Jalan Gua Musang-Jeli sehingga memaksa laluan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula jam 7 petang Isnin bagi memberi ruang kepada kerja penggantian pembentung menggunakan kaedah paip jek.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.48 malam sebelum anggota peronda digerakkan ke lokasi bagi mengawal lalu lintas.
Baca juga: Kerajaan Umum Harga Petrol Terkini RON97 RM3.25, RON95 RM2.65 Seliter Mulai 13 Hingga 19 November!
JALAN GUA MUSANG-JELI RUNTUH!

Gambar tangkap layar video kejadian runtuh: Rakaman video runtuhan tanah di KM 11.95 Jalan Gua Musang-Jeli yang tular.
Menurutnya, keadaan cuaca ketika itu masih cerah dan tindakan awal segera diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Anggota bertugas memaklumkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak Konsesi Roadcare untuk penutupan jalan dan pemasangan tanda amaran.
Kejadian berlaku berpunca dari terdapat pergerakan runtuhan pada permukaan jalan. Ketika ini jalan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya ketika dihubungi wartawan semalam.
Beliau turut mengesahkan bahawa tiada kemalangan jiwa atau kerosakan lain dilaporkan setakat ini, dan pemantauan di lokasi diteruskan dari semasa ke semasa.
Penutupan bermula 17 November & jalan alternatif yang boleh digunakan

Gambar Paya Linda Yahya: Jalan Gua Musang-Jeli yang dibuka satu lorong kepada kenderaan sebelum ini akibat lubang benam pada pagi Ahad, kini ditutup sepenuhnya susulan runtuhan yang berlaku pada petang semalam.
Dalam kenyataan berasingan, JKR memaklumkan bahawa penutupan laluan tersebut berkuat kuasa pada 17 November 2025 dan akan diteruskan sehingga kerja baik pulih selesai sepenuhnya.
“Kerja penggantian pembetung menggunakan kaedah pemasangan paip menggunakan jek sedang dijalankan di lokasi dengan kemajuan tapak sebanyak 60 peratus.
Pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif Gua Musang-Sungai Asap-Bertam-Meranto-Jeli atau laluan Gua Musang-Sungai Sam-Jeli,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melalui jalan alternatif yang disediakan, terutama pada waktu malam dan ketika hujan.
Beliau mengingatkan supaya pemandu mematuhi tanda amaran, tidak memandu laju serta sentiasa peka terhadap keadaan jalan yang sedang dibaik pulih.
Baca juga: [TERKINI] JAKIM Tegaskan ‘Muslim Choice’ Tak Diiktiraf Sebagai Penanda Halal!
Sumber: Harian Metro
FT Image: Media Sosial (1) (2)
