Sebuah perkongsian di laman TikTok baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila seorang ibu meluahkan rasa tidak puas hati selepas anaknya tewas dalam pertandingan mewarna meskipun hasilnya dianggap sangat kemas dan cantik.
Menurut ibu berkenaan, anaknya sudah beberapa kali menyertai pertandingan mewarna dan kali ini bukan soal menang atau kalah yang menjadi isu, sebaliknya cara penilaian juri yang menimbulkan tanda tanya.
Baca juga: Tular Gambar Budak Setahun Tidur Sebelah Landak, Ayah Cerita Rupanya Haiwan Ini Jinak Macam Kucing!
ANAK KALAH PERTANDINGAN MEWARNA SEBAB ‘TERLALU CANTIK’

Dalam video yang dikongsikan, wanita itu menceritakan bahawa anak-anak yang menghasilkan lukisan dengan warna gradasi atau ‘tone’ yang cantik langsung tidak mendapat tempat sebagai pemenang. Apabila ditanya kepada pihak penganjur, jawapan yang diterima agak mengejutkan.
“Katanya, kalau hasil warna ada gradasi, itu pasti dibantu oleh orang tua (ibu bapa), sebab anak tadika tak mungkin boleh buat sebaik itu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, penilaian berdasarkan andaian sebegitu dianggap tidak adil kerana bukan semua kanak-kanak mempunyai tahap kemahiran yang sama ada yang memang benar-benar berbakat dan mampu mewarnakan gambar dengan baik tanpa bantuan sesiapa.
Dalam masa sama, netizen turut bersetuju bahawa penilaian sebegitu boleh mematahkan semangat kanak-kanak yang rajin berlatih dan mempunyai minat mendalam dalam seni.
“Kalau cantik dikata mak yang buat, kalau tak kemas dikata tak bersungguh. Serba salah jadinya. Kesian budak-budak dah semangat masuk pertandingan mewarna,” tulis seorang pengguna di ruangan komen.

Tidak kurang juga yang mengingatkan agar penganjur dan juri pertandingan sedemikian mempunyai garis panduan penilaian yang lebih jelas serta adil untuk mengelakkan salah faham dan rasa tidak puas hati di kalangan peserta serta ibu bapa.
Meskipun ibu tersebut kecewa dengan keputusan pertandingan, ramai netizen memuji semangat dan hasil kerja anaknya yang dianggap kemas, teliti dan mempunyai kreativiti tersendiri.
Mereka juga berharap agar insiden sebegini tidak mematahkan semangat anak itu untuk terus berkarya dan menyertai lebih banyak pertandingan di masa hadapan.
Baca juga: Wanita Masuk ICU Lepas Makan Anggur Shine Muscat… Terus Alami Sakit Kepala, Batuk & Badan Lemah
Sumber: TikTok
