Pisahkan ibu dan anak-anak bukanlah perkara ringan dalam Islam. Ia bukan hanya menyentuh emosi, tetapi melibatkan hukum syarak yang jelas.
Baru-baru ini, hangat diperkatakan tentang tindakan seorang selebriti lelaki yang membawa ketiga anak-anaknya bertemu dengan pembantu rumah selepas melafazkan cerai. Kemudian, bekas isterinya mempersoalkan tindakan penyanyi itu seperti memberi gambaran anak-anak mereka lebih layak untuk bertemu dengan pembantu rumah berbanding dirinya.
Baca juga: “Tak Sanggup Saya Sakit…” Ini Hukum Buat Hubungan Intim Ketika Pasangan Tak Sihat!
HUKUM PISAHKAN IBU DAN ANAK-ANAK SELEPAS CERAI
Lantas, menimbulkan persoalan kepada masyarakat, adakah tindakan memisahkan anak-anak kecil daripada ibu kandung itu dibenarkan dari sudut agama?
Dalam satu penjelasan yang dibuat berkenaan sekatan atau larangan anak dari berjumpa ibunya, oleh Ustaz Azhar Idrus dalam video kuliahnya ada menyatakan,
“Benci macam mana pun kita pada bekas isteri, jangan kita sekat anak anak bertemu dengan ibunya. Hukumnya haram dan berdosa besar. Maka, berhati-hatilah.
“Perbuatan tersebut adalah salah kerana anak-anak ada hak mereka dan sebagai ibu bapa tidak boleh menafikan hak tersebut,” ujar beliau.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum asal hak penjagaan anak (hadhanah) diberikan kepada ibu, khususnya jika anak masih kecil atau belum mencapai tahap mumayyiz (belum mampu mengurus diri).
Rasulullah SAW sendiri memberi panduan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud: “Engkau lebih berhak terhadap anakmu selagi engkau belum berkahwin (dengan lelaki lain).”
Ini menunjukkan bahawa pengasingan anak daripada ibu tanpa sebab syarie adalah bertentangan dengan prinsip hadhanah.
Selagi ibu mampu menjaga anak dengan baik dan tidak melanggar syarat (seperti berkahwin dengan lelaki bukan mahram anak), maka hak penjagaan kekal di tangannya.
Selain itu, antara prinsip utama dalam menentukan hak penjagaan ialah maslahah anak iaitu dari segi kebajikan dan kesejahteraan rohani serta emosi mereka.
Jika anak dipisahkan daripada ibu tanpa alasan syarie dan hanya kerana urusan peribadi atau keselesaan, maka ia tidak menepati prinsip kebajikan anak seperti yang ditekankan dalam undang-undang Islam Malaysia.
Islam sangat menekankan kasih ibu sebagai asas tumbesaran anak. Memisahkan anak-anak daripada ibu kandung tanpa sebab yang dibenarkan syarak bukan sahaja salah dari segi agama, tetapi juga boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan perkembangan anak.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (1), (2) / Jabatan Bantuan Guaman / UAI
FT Image: Google

