Sebagai tanda kasih yang tidak berpenghujung kepada arwah isteri, seorang lelaki di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sanggup mewakafkan harta peninggalan isterinya bernilai RM60,380 demi manfaat umat dan pahala berpanjangan.
Mansor @ Razali Zamzam, 63, berkata, isterinya, arwah Rohaya Abd Hassan, 59, menghembuskan nafas terakhir pada 29 Oktober lalu selepas lebih dua tahun berjuang melawan penyakit kanser ovari yang akhirnya merebak ke buah pinggang.
Baca juga: Bayi Baru 30 Hari Ikut Pergi Konvo, Raikan Kejayaan Ibunya Rangkul 2 Anugerah Tertinggi UniSZA!
SUAMI WAKAF HARTA ARWAH ISTERI DEMI PAHALA BERPANJANGAN

Mansor (dua dari kanan) menyerahkan harta peninggalan arwah isteri untuk diwakafkan melalui Baitulmal MAINS.
Menurutnya, semasa hayat isterinya, arwah pernah menghadiahkan emas dan wang simpanan sebagai tanda penghargaan kerana beliau setia menjaganya sepanjang tempoh sakit.
“Masa dia sakit, arwah tanya mana emas dia. Saya tunjukkan dan dia kata nak bagi pada saya sebab saya jaga dia lama. Tapi saya tak nak, saya tanya boleh tak kalau saya infakkan semua emas dan duit itu. Dia pun setuju.
“Jadi, itu perjanjian saya dengan dia semasa dia masih hidup. Bila dia dah tiada, saya kena tunaikan amanah itu sebagai amal jariah berpanjangan buat arwah,” katanya kepada Sinar Harian.
Selepas pemergian isterinya, Mansor menunaikan janji itu dengan menyerahkan hasil penjualan emas dan wang peninggalan arwah kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk dijadikan wakaf.
Menurut MAINS, tindakan lelaki itu bukan sahaja mencerminkan keimanan yang mendalam dan kasih sayang yang tulus terhadap isterinya, tetapi juga menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus beramal melalui instrumen wakaf.
MAINS turut merakamkan penghargaan atas kemurahan hati beliau, serta menegaskan komitmen pihaknya untuk menguruskan harta wakaf dengan telus agar manfaatnya disalurkan kepada sektor pembangunan umat seperti pendidikan, sosioekonomi dan kesihatan.

Gambar kenangan Mansor bersama arwah isteri.
Mansor berkata, keputusan untuk menunaikan wakaf itu dibuat segera bagi memastikan amanah isterinya ditunaikan tanpa penangguhan.
“Saya bersyukur sebab ALLAH SWT gerakkan hati saya awal. Takut kalau saya lambat, duit itu pergi tempat lain. Dah ada orang datang nak pinjam pun.
“Bila pegang duit banyak, takut juga nanti bila sunyi, terfikir nak cari teman pula. Jadi, lebih baik saya selesaikan segera.
“Kami tiada anak, hanya jaga seorang anak angkat. Jadi, saya fikir lebih baik sedekah atas nama arwah. Duit banyak pun tak guna, dulu saya kerja pun untuk isteri. Bila dia dah tak ada, untuk siapa lagi saya nak cari duit,” ujarnya dengan nada sebak.
Katanya, selepas menunaikan amanah itu, hatinya berasa sangat tenang.
“Bila amanah arwah dah saya tunaikan, saya rasa lega. Itu tanda kasih sayang terakhir saya untuk dia.
“Duit yang ada biarlah cukup untuk makan minum, kalau ada lebih, kita sedekah. Simpan sikit untuk kecemasan,” katanya mengakhiri perbualan.
Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada Mansor serta menempatkan arwah isterinya dalam kalangan hamba-Nya yang beramal soleh dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.
Sumber: Sinar Harian / Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
FT Image: MAINS / Sinar Harian
