Di tengah gelombang rumah tangga selebriti yang berakhir dengan perpisahan, pelakon Ashraf Muslim menyeru pasangan suami isteri agar lebih berhati-hati dalam menjaga privasi dan keharmonian keluarga.
Menurut Ashraf, 44, kesejahteraan rumah tangga bukan terletak pada kemewahan atau kemesraan yang dipamerkan, sebaliknya pada kejujuran, keikhlasan dan kebijaksanaan mengawal emosi, termasuk dalam perkongsian di media sosial.
ASHRAF MUSLIM PESAN JANGAN TAYANG HARTA & BAHAGIA

“Bagi saya, keluarga merupakan amanah paling berharga. Tak semua perkara perlu dikongsi. Ada batas yang wajar dijaga supaya keharmonian itu kekal untuk kita dan bukan untuk tontonan orang lain,” jelasnya.
Pelakon drama Mandul Bukan Pilihan itu menegaskan, dalam dunia digital hari ini, kecenderungan untuk mendedahkan terlalu banyak hal peribadi sering kali membawa padah.
“Media sosial bukan tempat mencari bahagia. Bila terlalu banyak tunjuk, sama ada gembira, sedih atau sakit, ia boleh mengundang fitnah dan salah faham. Sebab itu saya pilih untuk lebih berhati-hati,” ujarnya.
Ashraf turut berkongsi bahawa kedua-dua isterinya memahami prinsip tersebut sejak awal perkahwinan. Menurutnya, mereka tahu batas yang perlu dijaga dan menghormati keputusan untuk tidak mendedahkan urusan keluarga secara terbuka.
“Zaman sekarang orang cepat tersinggung. Sebagai ketua keluarga, saya kena bijak menapis. Kadang saya cuma kongsi hal diri sendiri, bukan keluarga, lebih selamat begitu,” katanya lagi.
Pelakon itu juga menasihatkan masyarakat agar tidak terlalu terpengaruh dengan kehidupan orang lain di media sosial.

“Ramai yang percaya apa di media sosial seolah-olah lebih benar daripada hakikat sebenar. Kalau perkongsian itu bawa manfaat, teruskanlah. Tapi kalau boleh mengundang dosa atau mudarat, lebih baik elak. Jangan sampai terpesong hati dan jiwa,” pesan bapa kepada enam cahaya mata itu.
Media sebelum ini melaporkan Ashraf mendirikan rumah tangga dengan Noor Dayana Lokman pada 24 September 2011 di Tanah Suci Mekah dan dikurniakan seorang anak lelaki, Anas, 10 tahun.
Dia kemudian berkahwin dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di Thailand dan dikurniakan empat anak, Sarah, 11, Adam, 10, Safiyyah, 7 dan Ali, 5 bulan.
Sumber: HIB GLAM
