Bertemu jodoh sememangnya rahsia Allah yang tiada siapa mampu menduga. Itulah yang berlaku kepada dua rakan sekolah, Zul A’ini Ariffin dan Alias Yahaya, masing-masing berusia 58 tahun, apabila mereka disatukan sebagai suami isteri pada 11 Oktober lalu.
Selepas lebih 40 tahun terpisah.
RAKAN SEKOLAH BERTEMU JODOH SELEPAS 40 TAHUN TERPISAH

Gambar Sinar Harian.
Lebih mengharukan, pasangan ini tidak hanya bertemu semula, tetapi melalui kisah cinta luar biasa apabila Alias melamar Zul A’ini di Jabal Rahmah, tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa, serta mengikat tali pertunangan di hadapan Kaabah di Makkah.
Mereka kemudiannya diijabkabulkan di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof di Sikamat, Negeri Sembilan, disaksikan keluarga terdekat.
Menceritakan detik pertemuan semula, Zul A’ini berkata, semuanya bermula apabila rakan sekolah menubuhkan satu kumpulan WhatsApp pada tahun 2016 untuk menyatukan semula sahabat lama.
“Sebenarnya saya dan suami pernah sekelas dari Tingkatan Satu hingga Tiga. Waktu itu hanya rakan sekelas dan tiada apa-apa perasaan sehinggalah terputus hubungan selepas suami berpindah ke sekolah sains.
“Kali pertama bertemu semula pada 2019 di Baling, Kedah ketika hadir ke majlis kenduri seorang kawan. Ketika itu dia datang bersama isterinya yang berkerusi roda,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, selepas pertemuan itu mereka tidak berhubung lama kerana masing-masing masih berkeluarga.
Namun, takdir menentukan segalanya apabila mereka berdua kehilangan pasangan. Arwah suami Zul A’ini meninggal dunia pada 2023, manakala isteri Alias juga meninggal dunia beberapa bulan kemudian.
“Memandangkan kami saling mengenali, saya hubunginya melalui aplikasi TikTok dan ucapkan takziah serta memberikan semangat supaya tidak berterusan bersedih,” katanya.
Dilamar di Tanah Suci

Gambar Sinar Harian.
Pada mulanya, mereka hanya berkongsi cerita dan saling memberi sokongan. Namun, hubungan semakin akrab apabila Alias mula menunjukkan kesungguhan untuk menjadikan hubungan itu lebih serius.
“Boleh dikatakan kami berhubung setiap hari dan bertanya khabar. Dari situ hubungan kami jadi lebih rapat dan saya juga beritahu merancang menunaikan umrah bersama keluarga pada Ogos.
“Dia kemudiannya beritahu mahu ke sana juga dan berhasrat melamar saya di sana. Dari situ saya nampak dia memang serius. Saya beritahu anak-anak serta adik mengenai perkara itu,” katanya.
Alias menunaikan janjinya apabila melamar Zul A’ini di Jabal Rahmah, tempat lambang cinta dan pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa. Mereka kemudian bertunang di hadapan Kaabah, disaksikan ahli keluarga dan mutawif.
“Sepanjang di sana pun, saya banyak berdoa kepada ALLAH, jika Alias ini baik untuk saya dekatkanlah kami dan di hadapan Kaabah kami bertunang dengan bersaksikan adik perempuan, sepupu serta anak saudara dan mutawif,” katanya.
Selepas pulang ke tanah air, mereka disatukan selepas 40 hari di Masjid Sikamat, menandakan babak baharu dalam hidup masing-masing.
“Kali pertama berjumpa ahli keluarga semua ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) saat kami mahu pergi menunaikan umrah. Sebelum pergi kami sudah hantar borang nikah dan tetapkan tarikh untuk diijabkabulkan,” katanya.
Zul A’ini mengakui tidak pernah terlintas untuk berkahwin lagi selepas pemergian arwah suaminya, namun jodoh yang ditentukan Tuhan hadir dengan cara yang tidak disangka.
“Selepas suami (arwah) meninggal, saya memang tak terfikir untuk kahwin semula dan sudah merancang duduk di sekolah pondok belajar agama, tapi anak-anak tak izinkan.
Dengan takdirnya, saya bertemu pula dengan Alias yang juga rakan lama sekolah dan selepas buat solat istikharah, Allah beri petunjuk dan bukakan hati saya,” katanya.
Baca juga: Anak 11 Tahun Dipukul Dengan ‘Hanger’ Hingga Cedera Sebab Tak Cuci Pinggan, Bapa Didenda RM8,000!
Sumber: Berita Harian
FT Image: Sinar Harian
