Kesemua sembilan kapal Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) dalam misi kemanusiaan terbaharu dilaporkan dipintas oleh tentera Israel sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Ini berlaku ketika meraka semua berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza dan sepatutnya memasuki Zon Merah sekitar jam 5 petang waktu Malaysia.
Baca juga:
KESEMUA 9 KAPAL FREEDOM FLOTILLA DIPINTAS ZIONIS!

Menurut kenyataan rasmi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), seramai sembilan wakil Malaysia berada dalam konvoi tersebut, lapan orang di atas kapal utama Conscience dan seorang lagi di atas kapal layar Umm Saad. Semua mereka merupakan sukarelawan kemanusiaan yang membawa misi untuk menyalurkan bantuan ke Gaza serta mendokumentasikan pelanggaran hak asasi manusia oleh rejim Zionis.
Menerusi rakaman video terakhir yang sempat dikongsikan sebelum komunikasi terputus, salah seorang aktivis menceritakan detik-detik getir menjelang ketibaan tentera Israel.
“Kami telah memakai jaket keselamatan dan duduk mengikut prosedur latihan kecemasan. Ketika ini, kami sedang menunggu mereka naik ke bot,” katanya dalam rakaman tersebut.
Aktivis itu turut memaklumkan kelihatan beberapa bot dan helikopter Israel mengelilingi kapal mereka sebelum serbuan berlaku.
“Saya nampak dua, tiga bot lagi datang dari arah belakang… dan helikopter sedang berlegar. Sebentar lagi mereka akan naik, bukan sahaja dengan bot, tetapi juga dengan pesawat,” jelasnya dengan nada tenang tetapi cemas.
Beliau turut memaklumkan bahawa panggilan nama sedang dijalankan untuk memastikan semua aktivis berada dalam keadaan selamat dan lengkap.
MyCARE Akan Adakan Sidang Media

Susulan kejadian itu, MyCARE memaklumkan bahawa satu sidang media khas akan diadakan di ibu pejabatnya pada jam 12 tengah hari ini bagi memberi perkembangan terkini berhubung nasib aktivis Malaysia di atas kapal berkenaan.
Misi kemanusiaan FFC dan TMTG sebelum ini mendapat perhatian antarabangsa kerana membawa mesej kebebasan dan solidariti terhadap rakyat Gaza, di samping menuntut akses bebas bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai keadaan kesemua aktivis dan status kapal selepas serbuan dilakukan. Dunia kini menantikan perkembangan terkini daripada pihak berkuasa antarabangsa dan pertubuhan kemanusiaan.
Baca juga:
