Kanak-kanak lelaki yang ditukul bapa saudara sehingga parah, telah meninggal dunia petang tadi setelah arwah seminggu bertarung nyawa.
Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.02 petang di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
MUHAMMAD AMAR DITUKUL BAPA SAUDARA, HEMBUS NAFAS TERAKHIR

MUHAMMAD Ammar meninggal dunia jam 3.02 petang di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian selepas seminggu bertarung nyawa. FOTO Ihsan Muhammad Badrul.
Berita pemergian anak sulung itu dikongsikan ibu bapanya melalui status WhatsApp. Muhammad Badrul Rameli, 31, menulis kira-kira 20 minit lalu, “Assalamualaikum, anak saya Muhammad Ammar da (dah) kembali ke negeri asal…sama-sama sedekahkan Al-Fatihah.”
Bapa mangsa turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anaknya sepanjang seminggu mendapatkan rawatan selepas kejadian malang tersebut. “Terima kasih, meninggal jam 3.02 petang,” katanya ringkas ketika dihubungi media.
Sementara itu, ibu kanak-kanak, Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman, 29, turut berkongsi berita sedih itu di status WhatsApp.
Sebelum ini, dia memaklumkan doktor telah meminta dia dan keluarga bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas jantung Muhammad Ammar terhenti kira-kira 14 minit pagi semalam.

Nur Ayuni berkata, meskipun mengetahui keadaan anaknya amat kritikal akibat dipukul berkali-kali di kepala hingga memerlukan lebih 50 jahitan dan mengalami pendarahan serta otak bengkak, sebagai ibu dia tetap menaruh harapan agar Muhammad Ammar kembali sedar.
Namun, takdir Allah menentukan sebaliknya, dan Nur Ayuni kini cuba reda serta menerima ketentuan tersebut.
Dalam kejadian Khamis lalu, pelajar Tahun Satu itu cedera parah selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya yang berusia 46 tahun di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat, Bachok.
Suspek kemudian ditemui meninggal dunia di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian, selepas melarikan diri sejurus memukul mangsa.
Baca juga: Anak Kedua Linda Hashim & Beego Alami Luka Melecur Tahap Tiga, Tertumpah Kuah Makaroni Panas!
Sumber: Harian Metro
