Berita gembira apabila Beby Tora mengandung akhirnya menjadi kenyataan setelah hampir enam tahun menanti kehadiran cahaya mata.
Dalam perkongsian terbarunya di media sosial, Beby Tora atau nama sebenarnya Atierah Zulfatie Dapat menunjukkan keputusan hamil kepada suaminya, Apit Johari, yang ketika itu jelas terpinga-pinga dan tidak menyangka apa yang sedang berlaku.
BEBY TORA MENGANDUNG, 6 TAHUN MENANTI ZURIAT

Namun sebaik sahaja melihat keputusan itu, kedua-duanya terus menangis dalam pelukan kerana terlalu sebak. Segala keperitan dan penantian bertahun-tahun seakan terubat dalam satu momen yang cukup menyentuh hati.
Rezeki yang tidak disangka ini hadir setelah setahun beliau memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan perubahan gaya hidup
“Assalamualaikum. Bismillah. Masya-Allah, Subhanallah. Terima kasih Ya Allah atas pinjaman-Mu yang tidak ternilai ini. Penantian selama hampir enam tahun akhirnya berbalas.
“Selama ini, saya tidak pernah dapat rasa melihat dua garisan pada alat ujian kehamilan, sehinggakan hati ini sudah reda dengan takdir. Namun, setelah setahun berikhtiar menjaga pemakanan dan mengamalkan diet sihat, akhirnya Allah makbulkan doa yang tidak pernah putus,” tulisnya di laman Instagram.

Tambahnya lagi, kehamilan ini merupakan hadiah paling bermakna dalam hidupnya untuk tahun ini, lebih-lebih lagi setelah sekian lama menunggu dalam doa dan sabar yang tidak pernah putus. Menurut Beby, tiada kata yang mampu menggambarkan perasaannya ketika mendapat tahu dirinya sedang mengandung buat pertama kali setelah hampir enam tahun mencuba.
“Benar-benar rezeki yang tidak disangka. Hadiah paling bermakna dalam hidup saya untuk tahun ini. Saya doakan agar semua pejuang TTC (Trying To Conceive) juga dikurniakan rezeki kehamilan tahun ini. Aamiin.
“Doakan saya dan bayi dalam kandungan sentiasa sihat serta dipermudahkan segala urusan sepanjang kehamilan ini. Alhamdulillah, kini usia kandungan saya sudah mencecah lima bulan,” luahnya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet yang turut berkongsi rasa gembira dan mendoakan agar segala urusan Beby Tora dipermudahkan sepanjang kehamilan ini.
Baca juga: Bangunan Sekolah Pondok Runtuh, Puluhan Pelajar Masih Hilang, Dikhuatiri Tertimbus…
Sumber: Instagram
