Dalam kehidupan seharian, manusia sering kali berhadapan dengan pelbagai bentuk musibah dan bahaya yang boleh datang dari segenap penjuru. Rasulullah SAW telah mengajarkan satu doa berlindung dari musibah yang amat indah dan menyeluruh sebagai benteng perlindungan daripada segala keburukan, termasuk musibah yang tidak dijangka dari arah bawah.
Doa ini merupakan antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW pada waktu pagi dan petang, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA.
Baca juga: Tular Video Tuan Bagi Makanan Kucing Ada Hati Babi, “Eh Boleh Ke? Apa Hukumnya Dalam Islam”
DOA BERLINDUNG DARI MUSIBAH ARAH BAWAH

Ia terkandung dalam Sunan Abi Dawud (no. 5074) dan merupakan antara doa yang sangat dianjurkan untuk diamalkan oleh umat Islam.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan akhirat. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kemaafan dan kesejahteraan dalam agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutuplah aibku dan tenangkanlah perasaan takutku. Ya Allah, peliharalah aku dari arah depanku, belakangku, kananku, kiriku dan atasku. Aku berlindung dengan keagungan-Mu agar tidak ditimpa musibah secara mengejut dari arah bawahku.”
Doa ini merangkumi permohonan perlindungan daripada enam arah utama:
- Depan
- Belakang
- Kanan
- Kiri
- Atas
- Bawah
Menariknya, apabila sampai kepada arah bawah, Rasulullah SAW menggunakan lafaz yang lebih kuat dan penuh pengharapan, iaitu, “وأعوذ بعظمتك” – “Aku berlindung dengan keagungan-Mu”.
Penggunaan lafaz ini menunjukkan bahawa bahaya dari arah bawah merupakan sesuatu yang lebih sukar dielak seperti tanah runtuh, lubang yang tidak disedari atau kemusnahan yang berlaku dari dalam bumi itu sendiri. Ia juga boleh ditafsirkan secara simbolik sebagai serangan terhadap asas kehidupan dan keselamatan seseorang.

Oleh itu, marilah kita menjadikan doa ini sebagai amalan harian, khususnya pada waktu pagi dan petang, bagi memohon perlindungan daripada segala jenis keburukan dan musibah yang datang dari segenap arah.
Islam mengajar kita untuk tidak hanya berserah semata-mata, tetapi juga bersiap siaga dengan doa, usaha dan tawakal. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita dan keluarga daripada segala mara bahaya di luar sana.
Baca juga: Ustaz Kongsi Doa Agar Aurat Tidak Dilihat Oleh Jin, Setiap Kali Buka Baju, Kena Baca!
Sumber: Facebook
