Kerajaan MADANI baru sahaja umumkan berita penting untuk rakyat Malaysia bermula 30 September 2025, sistem subsidi petrol RON95 akan beralih kepada subsidi bersasar melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Kalau sebelum ini semua orang ramai menggunakan RON95 pada harga yang sama, kali ni kerajaan perkenalkan cara baru yang lebih adil supaya subsidi betul-betul sampai kepada rakyat Malaysia.
Harga Petrol RON95 Turun Kepada RM1.99 Seliter

Jika dibandingkan dengan harga petrol RON95 iaitu RM2.05 seliter sebelum ini, kini rakyat Malaysia hanya perlu bayar serendah RM1.99 seliter untuk RON95.
Walau bagaimanapun, untuk mereka yang bukan warganegara, harga RON95 akan ditawarkan pada kadar RM2.60 seliter (harga tanpa subsidi).
Siapa Layak Dapat BUDI95?

Semua warganegara Malaysia yang ada lesen memandu aktif akan automatik layak.
Tanpa mengira pendapatan sama ada tinggi mahupun rendah, kesemua rakyat Malaysia boleh nikmati harga subsidi ni.
Ditawarkan Dengan Had Siling 300 Liter Sebulan

Menerusi pengumuman yang disebutkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, setiap rakyat layak beli sehingga 300 liter sebulan pada harga subsidi.
Menurut kajian, lebih 99% pemandu kereta persendirian tak pernah melebihi kuota ni pun.
Untuk pemandu e-hailing pula, mereka diberi pengecualian di mana mereka boleh memohon tambahan had supaya kerja mencari rezeki tidak terganggu.
Mudah Dan Tak Perlu Daftar

Kerajaan telah memastikan pastikan proses ini senang untuk semua. Anda hanya perlu ikuti tiga langkah ini sahaja:
-
- Hanya perlu sahkan MyKad masa isi minyak.
- Terminal MyKad disediakan sama ada di dalam kedai atau di pam minyak.
- Ada juga pilihan digital melalui aplikasi TNG eWallet, Setel (Petronas), CaltexGo dan beberapa aplikasi syarikat pengedar minyak yang lain.

Selepas selesai membuat pembayaran minyak, para pelanggan akan menerima resit yang memaparkan nilai transaksi pada harga pam, jumlah subsidi yang ditanggung oleh pihak kerajaan serta jumlah yang dibayar pengguna pada harga RM1.99.
Penjimatan Subsidi Disalurkan Semula Kepada STR & SARA

Menerusi pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
Menariknya, duit penjimatan daripada peralihan subsidi ni tidak hilang begitu saja. Ia akan diagihkan semula kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Selain itu, kerajaan juga tekankan dana ini akan digunakan untuk tingkatkan kualiti kesihatan, pendidikan, dan prasarana asas.

Selain itu, ketirisan dapat dikurangkan daripada dimanfaatkan oleh golongan warga asing dan sektor perniagaan menggunakan lebih 20% subsidi RON95.
Tidak kurang juga minyak RON95 yang diseludup ke negara jiran berikutan harga penawaran RON95 dalam negara yang jauh lebih rendah berbanding negara luar.
Hanya Jimat 6 Sen? Kenapa Perlunya Buat Semua Ini?
Harus diingat, harga pam tanpa subsidi RON95 adalah sekitar RM2.60 seliter.
Harga RM1.99 seliter adalah khas untuk rakyat Malaysia sahaja.
Kalau ada lesen motosikal tapi mahu isi minyak untuk kereta adakah dibenarkan?
Sememangnya boleh selagi mana lesen memandu masih aktif.
Bagaimana sekiranya sistem semakan BUDI95 di stesen minyak tidak berfungsi?
Jangan risau, setiap stesen minyak menawarkan pelan alternatif untuk membolehkan proses pembelian dijalankan seperti biasa.
Apa Respon Orang Awam Mengenai Pelaksaan BUDI95?
Menurut seorang suri rumah, Nurul Asyikin, penurunan harga minyak nyata memberi penjimatan buat beliau sekeluarga.

“Sebagai seorang suri rumah dan penerima Sumbagan Tunai Rahmah (STR), pengumuman BUDI95 nyata memberi penjimatan buat kami sekeluarga. Bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan keluarga kami dari segi pembelian bahan api, malah pihak kerajaan juga turut dapat berjimat di mana penjimatan itu dapat dimanfaatkan buat penerima SARA dan STR.” katanya.

Bagi pekerja swasta, Mohamad Zulhilmi, pemberian subsidi melalui inisiatif BUDI95 sedikit sebanyak membantu dirinya menguruskan kewangan keluarga dengan lebih baik.
“Pelaksanaan BUDI95 mungkin dilihat kecil namun sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam menguruskan kewangan keluarga. Pada pendapat saya, pemberian subsidi sehingga 300 liter yang ditawarkan pihak kerajaan sangat berbaloi berdasarkan penggunaan saya sama ada untuk ke tempat kerja mahupun menguruskan urusan sekolah anak,” katanya.

Syamimi turut meluahkan rasa syukur atas inisiatif kerajaan memperkenalkan BUDI95.
“Saya bersyukur dengan pelaksanaan BUDI95 ini kerana ia sedikit sebanyak membantu saya jimat kos minyak.
Menerusi pelaksanaan ini, pastinya hanya rakyat dapat menikmati harga subsidi dan tidak akan disalahguna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Jadual Pelaksanaan BUDI95

Supaya tak berlaku kesesakan atau kekeliruan, sistem BUDI95 akan dibuka secara berperingkat:
27 Sept 2025 (Sabtu): Anggota tentera dan polis (300 ribu orang)
28 Sept 2025 (Ahad): Penerima STR (B40)
30 Sept 2025 (Selasa): 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan MyKad & lesen memandu aktif
Langkah BUDI95 ni bukan saja turunkan harga petrol untuk rakyat Malaysia, tapi dalam masa sama kerajaan boleh salurkan penjimatan kepada STR & SARA yang merupakan dua bentuk bantuan tunai yang sangat dekat dengan isi rumah kita.
Pastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah. Sekiranya anda mampu menebus bantuan SARA, bermakna cip MyKad anda dalam keadaan elok dan tidak perlu panik untuk menukar MyKad baharu.
#BudiMadaniRON95 #ManfaatRakyat
