Kes menyayat hati apabila seorang bayi maut selepas dipercayai tertindih badan ibunya ketika tidur, membawa seorang wanita ke muka pengadilan di Mahkamah Majistret Parit, pada Isnin.
Tertuduh, Dewinta Tefa, 36, berdepan pertuduhan cuai hingga menyebabkan kematian anak bongsunya, Arkan Andre Soveral Asit, berusia dua bulan, dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Sungai Jejawi, Kampung Sungai Dua, Kota Setia pada 18 September lalu, jam 5.30 pagi.
Baca juga: Positif Dadah Syabu, Wanita Baru 3 Bulan Bersalin Dicekup AADK Dalam Serbuan Di Kampung Selamat!
BAYI MAUT TERTINDIH BADAN IBU

Gambar Sinar Harian: Dewinta mengaku bersalah atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian anak bongsunya di Mahkamah Majistret Parit pada Isnin.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Wanita warga Indonesia itu, yang juga ibu kepada enam anak, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kecuaian tertuduh mengakibatkan kematian bayi sendiri, meskipun dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Namun, peguam bela, Nurul Syuhada Mohd Yusof, merayu agar hukuman denda minimum dikenakan memandangkan anak guamnya hanyalah suri rumah dengan pendapatan isi rumah sekitar RM1,500 hasil pekerjaan suami sebagai pekerja ladang kelapa sawit.
Mahkamah turut diberitahu empat daripada enam anak tertuduh tinggal di Indonesia, manakala anak kelima serta bayi yang meninggal dunia berada bersamanya di Malaysia.
Baca juga: Tragedi Duka Selepas Cuti Penggal, Ibu Maut Kemalangan Semasa Hantar Anak 5 Tahun Ke Sekolah!
Selepas mempertimbangkan rayuan kedua-dua pihak, Majistret Nurul Izalina Rajaai menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Ketika ditunjukkan gambar anaknya serta lokasi kejadian, tertuduh tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak. Dia bagaimanapun membayar denda tersebut.
Media sebelum ini melaporkan pada 20 September bahawa bayi lelaki berusia dua bulan itu disahkan meninggal dunia selepas dipercayai tertindih badan ibunya ketika tidur. Bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mendapati punca kematian adalah akibat otak membengkak dan paru-paru sembab berpunca daripada lemas udara.
Susulan kejadian, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001, sebelum ibu mangsa ditahan bagi tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Freepik / Sinar Harian
