Bayi kembar 9 yang pernah menggegarkan dunia pada 2021 kini semakin membesar dan kesemua mereka baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran keempat.
Detik bersejarah itu terus menjadi perhatian kerana kelahiran mereka diiktiraf sebagai antara pencapaian paling luar biasa dalam sejarah perubatan moden.
Baca juga: Bayi Demam & Batuk Berkahak… Ibu Cuba Petua ‘Mengarut’ Letak Bawang Di Tapak Kaki, Terkejut Menjadi!
BAYI KEMBAR 9 KINI RAI ULANG TAHUN KE-4

Instagram les_nonuples
Ibu mereka, Halima Cisse, wanita berusia 29 tahun dari Mali, sebelum ini mendapat perhatian global apabila berjaya melahirkan sembilan bayi serentak.
Beliau yang bergelar pemegang rekod dunia sebagai ibu kepada anak paling ramai dalam satu kelahiran, sekali lagi menarik perhatian apabila memuat naik beberapa gambar kenangan kehamilannya di Instagram.
Halima bersama suaminya, Abdelkader Arby, meraikan ulang tahun keempat kesembilan anak mereka pada Mei lalu. Mereka dikenali sebagai Nonuplets Mali, mencipta sejarah kerana semua bayi berjaya diselamatkan meskipun bukan daripada kandungan kembar semula jadi.
Pasangan itu turut berkongsi momen nostalgia bersama 57,000 pengikut mereka di media sosial dengan memuat naik foto-foto lama yang merakamkan perjalanan unik tersebut.
“Kenangan yang tidak dapat dilupakan empat tahun lalu.
“Inilah antara gambar-gambar istimewa dan jarang dilihat, sejurus selepas kelahiran permata hati kami di dalam inkubator kecil masing-masing, serta sekeping foto berharga semasa kehamilan luar biasa Halima,” menurut kapsyen pada koleksi gambar yang dimuat naik itu.
Bagi mereka, pengalaman ini adalah satu keajaiban hidup yang disertai kekuatan luar biasa serta kasih sayang yang tiada bandingan.
“Kami sangat bersyukur atas sejauh mana kami melangkah serta sokongan yang tidak putus-putus sejak dari awal lagi. Terima kasih kepada semua yang bersama kami sejak hari pertama,” kata pasangan itu.

Instagram les_nonuples: Bayi kembar 9 yang selamat dilahirkan dari kandungan Halima Cisse pada tahun 2021.
Pada 4 Mei 2021, Halima selamat melahirkan sembilan bayi melalui pembedahan ketika kandungan berusia 30 minggu iaitu 10 minggu lebih awal daripada tempoh normal. Bayi-bayi itu terdiri daripada empat lelaki: Mohammed VI, Elhadji, Oumar dan Bah; serta lima perempuan: Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama dan Oumou.
Ketika dilahirkan, berat setiap bayi hanya sekitar 0.5 hingga 1 kilogram. Kejayaan ini akhirnya mencatat sejarah dunia apabila kesemua nonuplets selamat, seterusnya menerima pengiktirafan Guinness World Records.
Sebelum kelahiran luar biasa itu, Halima dan Abdelkader sudah mempunyai seorang anak perempuan, Arby yang kini berusia enam tahun.- Agensi
Sumber: Berita Harian
FT Image: Instagram @les_nonuples
