Murid 7 tahun dari Sekolah Rendah Agama Integrasi Al-Amin Darul Musthofa (Elmina) mencipta sejarah apabila berjaya meraih pingat emas di pertandingan Virtual Innovation Competition (VIC) 2025 peringkat antarabangsa. Kemenangan itu datang melalui inovasi ciptaan mereka yang dinamakan PotaSorb.
Dua sahabat kecil, Mohamad Mika Mohamad Mustaqim dan Aqeef Shareef Muhamad Syazwan, dinobatkan pemenang dalam kategori Junior Scientist Award yang dianjurkan oleh Digit360 dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan.
DUA MURID 7 TAHUN RAIH EMAS DI PENTAS INOVASI ANTARABANGSA

Aqeef Shareef Muhamad Syazwan (kiri) dan Mohamad Mika Mohamad Mustaqim (kanan).
Mohamad Mika berkata idea itu tercetus daripada keprihatinannya terhadap keadaan datuknya yang sering berdepan tekanan darah tinggi.
“Saya lihat datuk sering bergelut dengan tekanan darah tinggi setiap kali menikmati makanan masin. Saya berkongsi masalah ini kepada Aqeef dan lahirlah PotaSorb iaitu uncang berasaskan kentang yang mampu menyerap garam berlebihan tanpa menjejaskan rasa.
Lebih menarik, ia bertindak sebagai bahan perasa semulajadi yang mudah digunakan, kos efektif dan boleh membantu keluarga menikmati makanan dengan lebih sihat. Kami mahu orang ramai makan tanpa risau,” katanya.
Rakannya, Aqeef Shareef turut yakin inovasi mereka mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan secara meluas.
“Ini kerana PotaSorb merupakan inovasi yang mudah digunakan dan bersifat semula jadi,” jelasnya.
Kejayaan itu bukanlah yang pertama bagi sekolah berkenaan. Sebelum ini, Al-Amin Darul Musthofa (AADMS) beberapa kali mencatat kemenangan dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Keberanian murid seawal tujuh tahun yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, celik digital, serta berani tampil di hadapan juri antarabangsa menjadi faktor utama kejayaan mereka.
Baca juga: [VIDEO] Baru Darjah 2 Tapi Jurus Tari Bagaikan Pendekar, Adrean Dinobatkan Johan Acara Silat!

Gambar Mohamad Mika dan Aqeef Shareef menunjukkan sijlil dan pingat yang dimenangi mereka sambil ditemani dua guru.
Guru Besar Ko-Kurikulum dan Penciptaan Nilai, Nur Alifah Ilyana Norhalim, menegaskan sekolah berusaha melahirkan generasi berfikiran global tanpa mengetepikan nilai Islam.
“Kami mahu melahirkan murid yang berani, yakin diri dan berfikiran global. Pendidikan di AADMS menekankan pembinaan kepimpinan masa depan selain penyampaian ilmu semata-mata,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Besar sekolah, Aisyah Mardhiah Darul Azahar, menekankan pentingnya pendidikan awal dalam menggilap potensi murid.
“Sama ada anak cenderung kepada sains atau seni, semangat ingin tahu, kreativiti dan pemikiran luar kotak perlu dipupuk agar potensi unik mereka dapat menyerlah. Kemenangan di VIC 2025 ini telah membawa makna lebih besar daripada sekadar pingat emas.
Ia mencerminkan kasih sayang cucu terhadap datuk serta persahabatan dua sahabat kecil yang penuh empati. AADMS Elmina sekali lagi membuktikan pendidikan berteraskan iman, ilmu dan inovasi mampu melahirkan generasi kecil berjiwa besar,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 013-2347310 atau melayari laman rasmi sekolah di darulmusthofa.my.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: YouTube Amira Shahirah
