Euforia Bola 2026
Famili

Air Mata Seorang Ibu: Dua Anak Pergi Selamanya, Dari Tangisan UPSR & Masuk UM…Kini Tinggal Doa

kehilangan anak

Setiap ibu pasti mendambakan kehidupan bahagia bersama anak-anak tersayang. Namun, bagi seorang wanita tabah ini, Allah SWT menguji dengan ujian paling berat iaitu kehilangan anak, bukan satu tetapi dua cahaya mata yang amat disayangi.

Dengan penuh keimanan dan keyakinan terhadap perancangan Allah, beliau memilih untuk terus kuat dan reda. Perkongsian ibu ini mendapat perhatian warga maya malah membuatkan setiap seorang mengalirkan air mata

Baca juga: Disangka Hanya Demam ‘On Off’ Biasa, Kisah Sayu Ibu Kehilangan Anak Sekelip Mata Di Usia 3 Tahun

KISAH IBU KEHILANGAN ANAK PERTAMA & KEDUA UNDANG SEBAK, “AISY DAPAT UM…”

kehilangan anak

Ibu tunggal yang dikenali dengan nama @signorina.has menerusi laman Thread menyatakan bahawa bagi dirinya, setiap ujian yang hadir adalah jalan untuk lebih mendekatkan diri kepada Sang Pencipta, mencari kedamaian serta keberkatan dalam setiap detik kehidupan yang masih dipinjamkan.

“Al-Fatihah buat Aeisy Iskandar (4/11/2024) & Aeiry Danish (1/2/2021). Semoga Allah kurniakan ganjaran syurga tertinggi buat anak-anakku,” tulisnya dengan penuh sebak.

Kongsinya, Aeisy bukan sekadar seorang anak, tetapi juga seorang pejuang kecil yang pernah melalui pembedahan paru-paru pada tahun 2021. Walaupun diuji dengan kesihatan yang tidak menentu, semangatnya tetap membara. Malah, ibu itu masih mengingati detik anaknya menangis selepas menerima keputusan UPSR — 3A 2B.

“Aisy nangis sebab tak dapat 5A. Dia kata nak buat mama bangga… nak buktikan yang walaupun mama besarkan Aisy dan adik seorang diri, dia tetap boleh berjaya…”

Kata-kata itu menjadi satu janji yang tidak pernah hilang dari ingatan seorang ibu. Walaupun hanya sempat seketika, ia tetap menjadi bukti kasih seorang anak yang ingin membahagiakan ibunya. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya, pada 4 November 2024, Aeisy Iskandar bin Mazlan kembali ke rahmatullah akibat kemalangan motosikal di Lebuhraya Glenmarie, Shah Alam.

Pemergian Adik, Aeiry Danish

kehilangan anak

Lebih memilukan, sebelum itu si ibu ini sudah terlebih dahulu kehilangan anak bongsu, Aeiry Danish, pada 1 Februari 2021 akibat serangan asma. Kehilangan itu begitu berat, namun dia cuba menerima dengan reda, hinggalah takdir sekali lagi meragut seorang lagi permata hati.

Hidup tanpa kedua-dua anak bukan sesuatu yang mudah, namun beliau memilih untuk terus kuat. Dalam doanya, hanya satu yang dipohon agar anak-anaknya ditempatkan di syurga tertinggi, menunggu dirinya dengan senyuman pada hari pertemuan kelak. Warga maya turut meninggalkan komen yang memberi semangat kepada ibu di samping turut sama-sama mengalirkan air mata setelah sebak membaca kisah yang dikongsikan.

Kisah ini bukan sekadar tentang kehilangan, tetapi juga tentang ketabahan seorang ibu yang menjadikan setiap ujian sebagai tanda kasih Allah. Ia mengajar kita bahawa walau sebesar mana pun kesedihan, masih ada ruang untuk kekuatan, reda dan harapan.

Baca juga: Tidak Pernah Berdendam Dengan Bapa, Gadis Mangsa Simbah Cuka Getah Jalani Pembedahan Hidung

Sumber: Thread @signorina.has

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×